MOHD Nurkhuzaini (tiga, kiri) menyerahkan replika cek insentif kepada pemohon yang berjaya mendapat kerja pada Program “Outreach” Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu Sesi 1 2021, di Gong Kemuntong, Jertih. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
MOHD Nurkhuzaini (tiga, kiri) menyerahkan replika cek insentif kepada pemohon yang berjaya mendapat kerja pada Program “Outreach” Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu Sesi 1 2021, di Gong Kemuntong, Jertih. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Rakyat Terengganu yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 disaran mengambil peluang untuk menceburi kerjaya dalam bidang penyaman udara.

Ini kerana Terengganu menjadi negeri pertama mengambil inisiatif bekerjasama dengan Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) untuk menawarkan peluang kerja dalam bidang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, terdapat 800 kekosongan tempat kerja dengan 500 daripadanya memerlukan tenaga kerja tempatan dalam kadar segera bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Kerjasama dilaksanakan melalui Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) ini terbukti berhasil apabila 27 pemohon berjaya mendapatkan pekerjaan dengan dua daripada sudah melaporkan diri di Shah Alam, Selangor, semalam.

"Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 200 pemohon lagi dari Terengganu untuk mengisi kekosongan jawatan itu dalam masa terdekat," katanya selepas merasmikan Program "Outreach" Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu Sesi 1 2021 di Gong Kemuntong, Jertih, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Mohd Sahar Darusman.

Mohd Nurkhuzaini berkata, pemohon yang berjaya juga layak mendapat insentif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diuruskan oleh Perkeso.

"Masih ramai individu yang menganggur tidak mengetahui insentif ditawarkan kerajaan dan diharap pemberian insentif dapat mengubah stigma masyarakat di sini yang tidak bersedia berjauhan dengan keluarga untuk keluar bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 7:34 PM