Abdul Razak sayu di sisi jenazah anaknya. FOTO IHSAN PEMBACA
Abdul Razak sayu di sisi jenazah anaknya. FOTO IHSAN PEMBACA
Siti Rohana Idris

Tumpat: Nelayan ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika memukat di Pantai Sri Tujoh, di sini, hari ini.

Mayat Mohamad Farhan Abdul Razak, 23, ditemui pada 4 pagi oleh bapanya, Abdul Razak Ismail, 59, yang juga turun ke laut dengan menaiki bot berasingan.

Abang mangsa, Mohamad Farizal, 31, berkata adiknya turun ke laut menaiki bot seorang diri kira-kira 2 pagi tadi, manakala bapanya serta beberapa nelayan lain turun lebih awal.

"Kedudukan bot mereka tidak jauh antara satu sama lain, namun tiada siapa menyedari bila Farhan terjatuh sebaliknya hanya nampak bot yang dinaikinya sahaja berpusing-pusing.

"Bapa yang berada tidak jauh dari bot adik segera diberitahu dan mereka cuba mencarinya sebelum ternampak mayat Farhan timbul di permukaan air," katanya ketika dihubungi, di sini.

Mohamad Farizal berkata, tiada sebarang perubahan pada mangsa, malah dia tidak menyangka kejadian lemas menjadi asbab arwah pergi buat selama-lamanya kerana Mohamad Farhan sudah biasa memukat.

Katanya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Keral, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan penemuan mangsa.

Mohd Razi berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 13 batu nautika dari jeti Pantai Sri Tujoh oleh bapanya sendiri sebelum membawa pulang menaiki botnya.

"Soal siasat mendapati tiada saksi melihat mangsa terjatuh, sebaliknya hanya ternampak bot berpusing di laut tanpa mangsa di dalamnya.

"Keluarganya juga memaklumkan mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit dan tiada unsur jenayah dalam kejadian," katanya sambil mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 2:39 PM