PETUGAS mengangkat mayat  Eh Phong Areang untuk dibedah siasat di Bilik Forensik Hospital Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
PETUGAS mengangkat mayat Eh Phong Areang untuk dibedah siasat di Bilik Forensik Hospital Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris


BURUH lemas selepas tergelincir dalam sawah padi ketika mengangkat pukat di Kampung Jubakar, Tumpat, hari ini sekali gus menjadikannya korban banjir kedua di Kelantan.

Mayat mangsa, Eh Phong Areang, 49, ditemui pada 11.30 pagi oleh penduduk kampung yang mencarinya dengan menaiki bot kira-kira sejam selepas dia terjatuh.

Adiknya, Eh Pian Areang, 46, berkata, mendiang keluar rumah kira-kira 8 pagi untuk mengangkat pukat kerana air mulai naik di sekitar kampung itu.

“Seorang saksi yang berhampiran lokasi memberitahu ternampak abang di dalam air, sambil tangannya melambai seperti meminta tolong.

“Tidak lama kemudian kelibat abang sudah tidak kelihatan dan orang kampung segera menaiki bot untuk mencarinya.

Eh Phong Areang, 49.
Eh Phong Areang, 49.

“Pencarian dilakukan di sekitar tempat dia terjatuh dan kira-kira sejam kemudian, mayatnya ditemui apabila dayung seorang penduduk terkena pada badan mangsa di dalam air,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat.

Eh Pian berkata, setiap kali banjir, abangnya selalu memasang pukat di situ kerana dianggap lubuk ikan darat dan mereka sekeluarga tidak menyangka kejadian itu berlaku.

Menurutnya lagi, tiada perubahan yang ditunjukkan abangnya sebelum ini dan dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana mendiang biasa di lokasi itu.

“Ketika kejadian, saya berada di Kota Bharu dan bergegas ke tempat kejadian selepas dihubungi rakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan kejadian itu.

Berita berkaitan

Budak terjatuh tali air ditemui lemas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 2:45 PM