FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) mengesan berlaku pertambahan 11 lagi individu dijangkiti Covid-19 membabitkan Kluster Langkap 2 menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 39 individu.

Pengerusinya, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, kluster dikenal pasti berlaku di Kampung Orang Asli Langkap, Tanjung Ipoh di sini, berpunca menghadiri majlis perkahwinan.

Katanya, saringan kontak rapat seramai 44 individu sudah pun dijalankan pada 4 dan 5 Oktober lalu.

"Hasil saringan awal mendapati 28 orang positif dan hari ini Ahad (semalam), tambah 11 lagi kes baharu.

"Kes ini membabitkan tujuh keluarga yang menghadiri majlis perkahwinan pada 26 September lalu di kampung itu.

"Individu yang disaring membabitkan ahli keluarga dan tetamu sekampung yang menghadiri majlis perkahwinan berkenaan," katanya ketika dihubung, di sini, tad.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang kematian direkodkan berlaku disebabkan kluster berkenaan dan mereka yang dijangkiti dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), serta Hospital Tampin.

Mengulas lanjut, Mohd Faizal yang juga Pegawai Daerah Kuala Pilah berkata, 100 peratus golongan dewasa di daerah ini sudah lengkap divaksinasi, termasuklah penduduk di Kampung Orang Asli Langkap ini.

"Dari segi vaksinasi, kita sudah mencapai 100 peratus lengkap vaksin.

"Saya harap orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan walaupun Negeri Sembilan berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun pematuhan terhadap SOP tidak boleh diabaikan ," katanya.

Pada 7 Oktober lalu, media melaporkan seramai 28 orang disahkan dijangkiti Covid-19 selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di Kampung Orang Asli Langkap, Tanjung Ipoh di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 3:51 PM