Foto hiasan
Foto hiasan
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Aktiviti sambutan perayaan, ziarah dan majlis pengebumian antara pencetus 30 kluster baharu yang dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kluster berpunca aktiviti ziarah yang dikesan oleh kementeriannya hari ini membabitkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

"Kluster Kampung Pandan Tok La ini membabitkan aktiviti ziarah yang diadakan di kampung berkenaan di Pasir Mas, Kelantan untuk menghadiri majlis perkahwinan.

"Kes indeks bagi kluster ini adalah kanak-kanak lelaki yang dilaporkan positif Covid-19 hari ini selepas mengalami gejala pada 23 Julai lalu.

"Sehingga kini, seramai 10 individu sudah disaring iaitu lapan dilaporkan positif Covid-19 termasuk tujuh kes baharu hari ini," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Sementara itu, satu lagi kluster yang berpunca daripada aktiviti ziarah ialah Kluster Kampung Jelor yang kini sudah menjangkiti 19 individu.

"Kluster ini membabitkan aktiviti ziarah di Kampung Jelor, Pasir Puteh sempena sambutan perayaan.

"Kes indeks bagi kluster ini adalah seorang wanita berusia 39 tahun yang mula mengalami gejala pada 24 Julai lalu sebelum dilaporkan positif Covid-19 tiga hari kemudian iaitu 27 Julai," katanya.

Selain itu, menurutnya, Kluster Dah Kampung Nonang yang dikesan di Kota Setar, Kedah sudah menjangkiti 45 individu.

Katanya, kluster itu turut dikesan membabitkan individu yang menghadiri majlis sambutan perayaan di kampung berkenaan.

"Kes indeksnya adalah seorang lelaki berusia 47 tahun yang dilaporkan positif pada 28 Julai hasil saringan kontak rapat," katanya.

Dalam pada itu, dua kluster yang membabitkan majlis pengebumian, Dr Noor Hisham berkata, ia dikenali sebagai Kluster Kampung Sungai Isap di Kuantan, Pahang serta Kluster Dah Kampung Tiang di Pendang, Kedah yang kini sudah menjangkiti 55 individu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 8:01 PM