GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Seramai 31 individu disahkan positif Covid-19 selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di Kampung Orang Asli Langkap, Tanjung Ipoh, di sini, pada 26 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, saringan sudah dijalankan terhadap kontak rapat pada 4, 5, 6 dan 8 Oktober lalu.

"Kes indeks yang menetap di Simpang Pertang, di sini, disahkan positif melalui saringan bergejala pada 3 Oktober lalu. Hasil siasatan mendapati individu itu pernah menghadiri kenduri kahwin ahli keluarga di Kampung Orang Asli Langkap, 26 September lalu.

"Justeru, saringan kontak rapat terhadap individu yang terbabit dalam majlis berkenaan dan ahli keluarga mereka dilakukan dan kami mendapati setakat ini seramai 31 individu disahkan positif," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, program vaksinasi secara outreach akan diteruskan bagi memastikan penduduk terutama orang asli di kampung berkenaan diberikan vaksin sekali gus mengawal penularan Covid-19.

"Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah membuat pemantauan di perkampungan berkenaan selain melakukan pemantauan Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO) ke atas kontak rapat

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri, S Veerapan berkata, sehingga kini terdapat 15 kluster membabitkan 13 kluster tempatan dan dua kluster import yang masih belum diisytiharkan tamat.

"Sehingga 12 tengah hari 8 Oktober 2021, terdapat 243 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 98,687 kes dan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 1,204," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 9:53 AM