KETIADAAN pengunjung ke chalet Kampung Bersah akibat Covid-19  nyata memberi impak dari segi ketiadaan aliran wang masuk. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
KETIADAAN pengunjung ke chalet Kampung Bersah akibat Covid-19 nyata memberi impak dari segi ketiadaan aliran wang masuk. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Sebagai ejen transformasi luar bandar Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai organisasi kepimpinan di peringkat akar umbi berganding bahu dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengenal pasti keperluan masyarakat di kampung masing-masing.

Usaha berkenaan bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik melalui pelbagai program peningkatan sosioekonomi, utiliti prasarana, persekitaran, seni dan budaya serta pentadbiran kampung ke arah 'luar bandar sejahtera.'

Ia dapat dilihat menerusi gerakan koperasi komuniti yang membantu masyarakat Orang Asli di POS Kuala Mu di sini, menyuburkan semula industri ekopelancongan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk khususnya ketika mendepani impak pandemik Covid-19 yang menyaksikan ketiadaan pengunjung luar hampir dua tahun.

Koperasi dilihat mengurangkan jurang pentadbiran antara lima kampung di kawasan POS terbabit yang didiami oleh suku Temiar khsususnya bagi pengurusan sosioekonomi penduduk berbanding peranan yang dimainkan JPKKOA.

Terletak di kawasan pedalaman Hutan Simpan Piah, POS Kuala Mu terdiri dari empat kampung iaitu Kampung Bersah, Kampung Toh, Kampung Gapeh dan Kampung Kuala Mu dengan populasi penduduk hampir 1,000 yang mana setiap kampung berkenaan diterajui seorang Tok Batin.

Pengerusi Koperasi POS Kuala Mu, Hamid M Rafi, 38, berkata, pembinaan chalet di Kampung Bersah yang menjadi ikon pelancongan di POS Kuala Mu sejak 2017, adalah berdasarkan konsep gotong-royong yang kemudiannya menatijahkan perluasan konsep koperasi di POS berkenaan.

Beliau berkata, kini kesemua 100 unit chalet diperbuat dari buluh dan bertam yang terdapat di POS berkenaan diuruskan di bawah koperasi dinaunginya dengan keuntungan yang diperoleh melaluinya, seperti sebelum ini akan dikongsi sesama penduduk empat kampung.

"Pengusaha keempat-empat chalet di kampung ini, adalah bermaksud orang kampung itu sendiri kerana dengan adanya koperasi, boleh dikatakan semua penduduk ada 'saham' dalam setiap keuntungan diperoleh melalui chalet memandangkan konsep asalnya adalah gotong-royong, tiada pengusaha persendirian.

"Ketiadaan pengunjung dalam tempoh hampir dua tahun kebelakangan akibat Covid-19, selain penutupan POS ini kepada orang luar bagi membendung jangkitan, nyata memberi impak dari segi ketiadaan aliran wang masuk yang membuatkan pendapatan penduduk teruk terjejas.

"Ia memandangkan sektor pelancongan sudah menjadi sumber pendapatan utama masyarakat di POS Kuala Mu berbanding pekerjaan lain yang sebelum ini sinonim dengan masyarakat Orang Asli," katanya.

Hamid berkata, selain tarikan sedia ada seperti chalet penginapan, lata air terjun, aktiviti memancing, santuari ikan, penjelajahan hutan serta gua, mendaki gunung dan persembahan Sewang, pihaknya turut merancang beberapa aktiviti baharu dalam masa terdekat.

Ia termasuk aktiviti berkayak, menunggang kenderaan pelbagai permukaan (ATV), berbasikal dan pembinaan menara tinjau membabitkan pemberian geran bernilai RM1 juta melalui Program Desa Lestari di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Sementara itu, Tok Batin Kampung Bersah, Hadu Long, 63, berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang tidak pernah jemu menyediakan prasarana dan fasiliti asas di Pos Kuala Mu terutamanya jalan berturap yang dengannya menarik lebih ramai pelancong ke perkampungan itu.

Ikuti kisah menarik masyarakat ini dengan lebih lanjut menerusi Majalah 3 di TV3 esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 7:01 AM