MAHDZIR (dua dari  kanan) melakukan  gimik perasmian sambil disaksikan  Ramlan (dua dari kiri) ketika  Majlis Pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
MAHDZIR (dua dari kanan) melakukan gimik perasmian sambil disaksikan Ramlan (dua dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membangunkan aspirasi ikonik baharu dengan penetapan sembilan kriteria untuk melayakkan sesebuah kampung dipanggil Kampung Sejahtera.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program pembangunan kampung yang komprehensif dan holistik itu bagi mewujudkan kampung di seluruh negara yang berdaya saing, bersih dan kemas dengan pembabitan aktif komuniti kampung sebagai penggerak utama.

"Sembilan kriteria dikenal pasti dalam mengangkat taraf kampung diiktiraf sebagai Kampung Sejahtera iaitu infrastruktur lengkap, aktiviti ekonomi berimpak tinggi, modal insan berdaya maju dan tahap kesihatan yang baik.

"Selain itu, kebersihan dan keceriaan kampung, keagamaan dan kerohanian, tahap keselamatan yang terjamin, kepimpinan dan pentadbiran cekap serta penerapan budaya inovasi dalam komuniti kampung," katanya dalam Pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera di sebuah hotel di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Menurutnya, berdasarkan data sumber PlanMalaysia dan KPLB, ketika ini Malaysia mempunyai 28,303 kampung meliputi 19,447 kampung di Semenanjung Malaysia, 5,976 kampung di Sarawak, 2,853 kampung di Sabah dan 27 kampung di Labuan.

"Daripada jumlah ini, 15,434 kampung di bawah tadbir urus institusi pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

"Dalam konteks kepelbagaian, Malaysia mempunyai keunikan tersendiri di mana kampung ini terdiri daripada lapan jenis termasuk kampung tradisional, kampung baru Cina, kampung nelayan, kampung tersusun, kampung atas air, kampung Orang Asli, penempatan estet dan penempatan rancangan Felda dan Felcra," katanya.

Katanya, Aspirasi Kampung Sejahtera sebagai inisiatif komprehensif selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

"Matlamat kerajaan memastikan semua kampung di Malaysia mencapai aspirasi dirumus dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu wawasan Luar Bandar yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik menjelang 2030.

"Namun kebanyakan kampung kita belum berjaya dalam aspek kebersihan, keceriaan, penjagaan alam sekitar, kepimpinan unggul, inovasi dan penerimaan elemen sains serta teknologi.

"Keadaan ini menyebabkan banyak kampung semakin sepi ditinggalkan penduduk terutama golongan belia berpusu-pusu mencari rezeki di bandar," katanya.

Mahdzir berkata, KPLB melaksanakan Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera (PAKS) untuk mengenal pasti kampung berpotensi diketengahkan dan bersesuaian dengan konteks Aspirasi Kampung Sejahtera.

"Pertandingan terbuka kepada dua kategori iaitu Kampung Tradisional dan Rumah Panjang di bawah pentadbiran JPKK atau JPKKP dan satu kategori lagi adalah Kampung Orang Asli dibawah Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA).

"Pertandingan dibuka selama enam bulan bermula April sehingga Oktober 2022," katanya.

Menurutnya, proses penilaian mula dilaksana pada pertengahan Ogos dimana kampung terpilih sebagai pemenang akan diiktiraf sebagai Kampung Sejahtera.

"Setakat ini, 126 pencalonan kampung sudah diterima dari dua kategori iaitu 112 Kampung Tradisional dan Rumah Panjang yang dikemukakan oleh kerajaan negeri manakala 14 pencalonan bagi Kampung Orang Asli dikemukakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

"Lima aspek dinilai iaitu Tadbir Urus Berkesan, Inovasi dan Aspirasi, Ekonomi Berdaya Saing, Modal Insan, Kesihatan dan Persekitaran serta Prasarana dan Kemudahan Masyarakat," katanya.

Menurutnya, proses transformasi kepada Kampung Sejahtera itu dilaksanakan secara berfasa mengikut kategori dan topografi kampung yang membabitkan komitmen, kolaborasi serta koordinasi pelbagai pihak secara berterusan dalam jangka masa panjang.

"Ini termasuk kerjasama strategik dengan kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan, syarikat korporat dan pihak berkepentingan lain," katanya.

Konsep lengkapi bandar, luar bandar

Aspirasi Kampung Sejahtera adalah konsep ikonik selaras dengan wawasan luar bandar sejahtera diaspirasikan melalui Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).

Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) merumuskan wawasan Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik sebagai agenda utama dalam proses pembangunan luar bandar di Malaysia menjelang 2030.

Pembangunan wilayah bersepadu, berkesan dan saling melengkapi penting bagi mengurangkan jurang kualiti hidup antara kawasan bandar dan luar bandar dan antara kawasan luar bandar.

Dalam hal ini, Teras 10 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) mengaspirasikan pembangunan kampung berpacukan komuniti yang mana antara lain memfokuskan kepada pembabitan ahli komuniti sebagai penggerak utama dalam perancangan dan pembangunan kampung. Pembangunan yang mampan perlu mengambil kira kehidupan yang sejahtera.

Aspirasi Kampung Sejahtera ini akan dibangunkan sebagai program komprehensif pembangunan sosio ekonomi bagi mewujudkan komuniti kampung berdaya tahan, berinisiatif, berdikari, berilmu dan memiliki disiplin kerja yang tinggi untuk pembangunan kesejahteraan kampung.

Pelaksanaan Aspirasi Kampung Sejahtera ini disasar mencapai Wawasan Luar Bandar Sejahtera dan semua 10 teras DPLB iaitu ekonomi, keusahawanan, modal insan, prasarana, belia, wanita, kehidupan luar bandar yang sejahtera, sistem penyampaian dan tadbir urus, biodiversiti, alam sekitar dan perumahan, pembangunan wilayah dan penempatan desa.

Dalam mencapai sasaran itu, ada pelbagai program sedia ada dilaksanakan sama ada di peringkat KPLB dan agensi serta di kementerian lain termasuk pihak universiti yang boleh melengkapi antara satu sama lain dalam mencapai pembentukan Kampung Sejahtera.

Kolaborasi strategik dan pembabitan agensi kerajaan serta pemegang taruh berkaitan penting dalam pembangunan luar bandar yang bersepadu demi mencapai hasrat pembentukan Kampung Sejahtera.

Dalam hal ini, perkara perlu dimantapkan adalah sinergi agensi peringkat persekutuan, negeri dan daerah, kerjasama bersepadu antara agensi dan industri serta penyelarasan pertindihan fungsi dan peranan agensi terutama dalam penyaluran bantuan.

Pelaksanaan Aspirasi Kampung Sejahtera akan dijalankan secara berfasa mengikut kategori dan topografi kampung berkenaan.

Aspirasi Kampung Sejahtera ini memastikan ciri-ciri unik sesebuah kampung khususnya yang mempunyai nilai estetika atau sumber alam yang menarik seperti sungai, gunung atau air erjun tetap terus dikekalkan dan tidak terjejas dalam apa jua keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 7:01 AM