Ramlan (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera  (PAKS). FOTO Samadi Ahmad
Ramlan (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera (PAKS). FOTO Samadi Ahmad
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Program Aspirasi Kampung Sejahtera adalah program komprehensif dan holistik bagi mewujudkan kampung yang berdaya saing, bersih dan kemas dengan pembabitan aktif komuniti kampung sebagai penggerak utama.

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, konsep ikonik baharu dibangunkan kementerian itu turut mendapat sokongan fizikal dan aktiviti ekonomi dari pelbagai kementerian, agensi dan swasta.

Menurutnya, penggemblengan tenaga dan sumber serta perancangan pembangunan yang tersusun rapi di bawah program ini dapat memperkasa kampung di negara ini ke tahap lebih tinggi dari aspek fizikal dan sosioekonomi penduduk.

Katanya, kampung yang mencapai tahap Kampung Sejahtera berupaya membuka pelbagai peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

"Peluang mewujudkan ekonomi ini dapat mengurangkan kadar penghijrahan, malah menarik penduduk untuk kembali semula ke kampung masing-masing," katanya pada sidang media Sempena Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera (PAKS) di sini, kelmarin.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Datuk Norlijah Danin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.

Pertandingan ini bermula pada April sehingga Oktober lalu manakala penilaiannya mula dilaksanakan pada pertengahan Ogos lalu.

Pertandingan ini membabitkan dua kategori iaitu Kampung Tradisional/Rumah Panjang dan Kampung Orang Asli dan secara keseluruhan sebanyak 121 kampung menyertainya.

Sebanyak 39 kampung dari dua kategori iaitu kampung tradisional dan Rumah Panjang serta tiga kampung Orang Asli dipilih sebagai pemenang Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera (PAKS) anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Ramlan berkata, peranan KPLB dalam pembangunan luar bandar tidak hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur asas semata-mata, sebaliknya semakin luas mencakupi aktiviti pemerkasaan ekonomi dan keusahawanan, pemajuan tanah dan wilayah, pembasmian kemiskinan, pembangunan modal insan serta penyampaian perkhidmatan.

Menurutnya, sebanyak sembilan kriteria dikenal pasti untuk mengangkat taraf sesebuah kampung untuk diiktiraf sebagai Kampung Sejahtera.

Katanya, ia membabitkan infrastruktur lengkap, aktiviti ekonomi berimpak tinggi, modal insan berdaya maju, tahap kesihatan yang baik, kebersihan dan keceriaan, keagamaan dan kerohanian, keselamatan terjamin, kepemimpinan dan pentadbiran yang cekap serta penerapan budaya inovasi dalam komuniti.

"Kampung Sejahtera ini selaras dengan matlamat jangka panjang pembangunan luar bandar ke arah pembangunan mampan iaitu memacu pendekatan pembangunan kampung berpacukan komuniti," katanya.

Ramlan berkata, sudah tiba masanya komuniti kampung menjadi penggerak utama pembangunan kampung khususnya dalam aspek kebersihan, keceriaan, kesihatan dan keselamatan kampung yang mana infrastrukturnya disediakan kerajaan.

Menurutnya, PAKS ini adalah sebagai salah satu inisiatif bagi mengenal pasti kampung yang berpotensi untuk diketengahkan sesuai dengan konteks Aspirasi Kampung Sejahtera.

Katanya, ia menawarkan hadiah dan insentif bernilai hampir RM1 juta dari KPLB sebagai pengiktirafan kepada kampung yang berjaya menzahirkan Aspirasi Kampung Sejahtera.

"Pertandingan ini antara usaha berterusan KPLB menuju ke arah wawasan yang dirumuskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Luar Bandar yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik' menjelang 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 7:30 AM