Mustapa (kanan) bersama Abdul Rahman meninjau perkampungan Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang, hari ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
Mustapa (kanan) bersama Abdul Rahman meninjau perkampungan Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang, hari ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Perkampungan Orang Asli di Pos Gob, di sini, akan dibangunkan sebagai tempat pelancongan mulai tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia sesuai dimajukan dan boleh menarik pelancong daripada dalam dan luar negara.

Menurutnya, pos terbabit mempunyai keindahan alam semula jadi yang amat cantik tidak terdapat di tempat lain termasuk sungai yang jernih dan air terjun.

"Fokus kerajaan adalah untuk meningkatkan ekonomi Orang Asli. Awal tahun depan kerajaan akan membangunkan Pos Gob ini supaya ia memberi faedah kepada masyarakat setempat.

"Penginapan chalet sudah ada yang dibina dan beberapa lagi perlu dibaik pulih. Jadi pendekatan kerajaan ialah pendekatan holistik untuk memajukan orang asli seluruh negara membabitkan pendidikan, kesihatan dan program sosioekonomi.

"Insya-Allah perkara itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri pada 27 September ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Orang Asli di Pos Gob, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) datuk Sri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor.

Mustapa berkata, pihaknya juga memandang berat masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli khususnya untuk menangani kadar kemiskinan dalam kalangan mereka.

"Kadar kemiskinan Orang Asli agak tinggi di negara ini dan sesuatu perlu dilakukan untuk mereka diberi peluang untuk meningkatkan ekonomi.

"Tumpuan utama kita untuk basmi kemiskinan. Itu satu agenda penting kerajaan termasuk KPLB supaya ada perubahan dalam kehidupan penduduk luar bandar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:43 PM