KHAIRY Jamaluddin memotong riben merasmikan bilik Mesin MRI di Pusat Perubatan Mawar Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
KHAIRY Jamaluddin memotong riben merasmikan bilik Mesin MRI di Pusat Perubatan Mawar Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas jemaah menteri membuat keputusan mengenai kedudukan pilihan raya itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya telah memberikan pandangan dalam mesyuarat jemaah menteri dan kini terserah kepada jemaah berkenaan untuk membuat keputusan.

Katanya, sekiranya PRN itu perlu dijalankan, KKM bersedia untuk berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai SOP yang perlu dilaksanakan.

"Buat masa ini terlalu awal untuk kita (KKM) membuat apa-apa keputusan atau berkaitan pengumuman tentang SOP PRN Melaka.

"Kita tunggu jemaah menteri buat keputusan terlebih dahulu sama ada PRN diteruskan atau tidak dan sekiranya diteruskan, Kementerian Kesihatan sudah ada pandangan kita mengenai SOP tertentu yang perlu diambil kira oleh SPR," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wad Kanak-kanak, melancarkan mesin imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan melancarkan Pensijilan ISO 9001: 2015 di Pusat Perubatan Mawar, di sini, hari ini.

Mengikut perlembagaan, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dun, namun ia mencetus kebimbangan berlakunya lonjakan kes Covid-19 secara mendadak di negeri itu dan seluruh negara seperti yang berlaku pada pasca PRN Sabah, September tahun lalu.

Ketika ini, jumlah kes harian Covid-19 di Melaka berlegar sekitar 200 hingga 300 sehari manakala kadar vaksinasi lengkap bagi seluruh populasi di negeri berkenaan adalah 64.7 peratus, namun 88.6 peratus populasi dewasa sudah lengkap divaksin.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, kementeriannya sudah memberikan kebenaran bagi pemberian suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 untuk dimulakan pada minggu hadapan.

"Setakat ini mungkin Sarawak akan mulakan dulu minggu hadapan. Saya rasa bila-bila masa boleh mula dengan dos penggalak kepada mereka yang layak terima," katanya.

Mengenai pelantikan doktor kontrak ke dalam perkhidmatan tetap, beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan dengan Kementerian Kewangan.

"Ia membabitkan penyediaan kertas kerja pelantikan doktor kontrak ke dalam perkhidmatan tetap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 4:47 PM