Khairy Jamaluddin. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH    
Khairy Jamaluddin. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH    
Mohd Amin Jalil


Seremban: Garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan Covid-19 bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak akan dimuktamadkan menjelang 30 November ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan.

"Saya sudah mengadakan perbincangan tengah hari tadi dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak berkenaan SOP PRN Sarawak.

"Saya telah tugaskan Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Ago Anak Dagang untuk selaraskan perkara ini dengan kerajaan Sarawak dan bagi masa sehingga 30 November untuk dimuktamadkan sebelum kita mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan 2021-2022 di Klana Resort di sini, petang tadi.

Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, ketika ini SOP PRN Sarawak sedang dikemas kini KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Abdul Ghani berkata, SPR melaksanakan beberapa penambahbaikan pada PRN-12 Sarawak, yang akan diadakan pada 18 Disember depan.

Sementara itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, pihaknya akan membawa satu memorandum kepada Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat berkaitan isu Hartal Doktor Kontrak.

"Saya akan bawa satu memorandum kepada Jemaah Menteri dalam masa seminggu dua ini bagi mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang mengenai perkara ini (Hartal Doktor Kontrak).

"Kita berharap memorandum ini dapat sedikit sebanyak menyelesaikan permasalahan yang ditimbulkan.

"KKM akan meneliti terlebih dahulu daripada segala aspek sebelum menyerapkan mereka ke lantikan tetap," katanya.

Sejak Julai lalu, gerakan Hartal Doktor Kontrak di seluruh negara, mengambil tindakan drastik dengan mengadakan perhimpunan aman, susulan kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada mereka.

Gerakan itu juga sudah merancang untuk memulakan siri mogok kedua di seluruh negara bulan depan jika masalah atau tuntutan berkenaan masih belum selesai.

Difahamkan terdapat seramai 23,000 Hartal Doktor Kontrak ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:49 PM