Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mahaizura Abd Malik dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Keputusan mengenai kemelut politik di Melaka akan diputuskan kerajaan minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membuat keputusan minggu depan sekiranya ada keperluan untuk menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Melaka supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) ditangguhkan sementara waktu.

Sultan Nazrin Muizzudin Shah kini menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengadakan lawatan khas ke United Kingdom.

Beliau berkata, Sultan Nazrin akan mendapatkan taklimat lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kita pun bincang tentang situasi di Melaka dan belum membuat sebarang keputusan lagi.

"Saya difahamkan Pemangku Yang Dipertuan Agong akan mendapatkan taklimat daripada Peguam Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya selepas menghadiri Majlis Prapelancaran #Keluarga Malaysia di Wisma Angkasapuri RTM, di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri membunyikan hon sebagai simbolik pelepasan Skuad Keluarga Malaysia secara maya pada Majlis PraPelancaran #Keluarga Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
ISMAIL Sabri membunyikan hon sebagai simbolik pelepasan Skuad Keluarga Malaysia secara maya pada Majlis PraPelancaran #Keluarga Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD

Politik Melaka kembali bergolak selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengumumkan hilang keyakinan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas Adun itu adalah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu ), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Lantaran pengumuman itu, Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam kemudian bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Namun, keputusan itu ternyata memberi kejutan kepada banyak pihak kerana PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dun, sedangkan negara masih bergelut menangani Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 6:32 PM