PELANGGAN menyaksikan Ismail Sabri pada Majlis Prapelancaran #Keluarga Malaysia di Wisma Angkasapuri RTM, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
PELANGGAN menyaksikan Ismail Sabri pada Majlis Prapelancaran #Keluarga Malaysia di Wisma Angkasapuri RTM, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mahaizura Abd Malik dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Inisiatif kerajaan dalam 'Keluarga Malaysia' diharap dapat membantu memulihkan aspek ekonomi negara terutama dalam kalangan individu terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pemandu e-hailing, P Raghuraman, 38, berkata, penularan Covid-19 menyebabkan dia hilang pekerjaan sebagai pemandu peribadi pada Mac lalu.

"Sekarang saya bekerja sebagai pemandu e-hailing untuk menyara keluarga. Saya harap inisiatif Keluarga Malaysia ini dapat membantu individu terjejas seperti saya tanpa mengira latar belakang bangsa.

"Saya lihat tahap perpaduan di negara kita ketika ini adalah baik dan diharapkan ia akan bertambah baik dengan pelaksanaan inisiatif ini nanti," katanya ketika ditemui, hari ini.

Peniaga, Siti Normah Yaakub, 44, berkata dia menyambut baik insiatif berkenaan yang dilihat dapat menambahbaik hubungan kekeluargaan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Sebagai negara berbilang kaum, penting untuk kita sentiasa menambah baik hubungan antara masyarakat berbilang kaum meskipun tahap perpaduan di negara ini amat baik.

"Apa yang penting adalah tiada bangsa tercicir daripada sebarang bantuan kerajaan terutama dalam keadaan negara dilanda pandemik ketika ini," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Prapelancaran #Keluarga Malaysia di Wisma Angkasapuri RTM, di sini, hari ini.

Inisiatif Keluarga Malaysia bertujuan memerangi kemelut kesihatan dan ekonomi tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah.

Katanya, usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan tiga ciri utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Menurutnya, kejayaan ini akan membolehkan Malaysia membuka jalan pemulihan ekonomi dalam normal baharu pasca pandemik, kesejahteraan rakyat ditingkatkan dan keyakinan pelabur harus dikembalikan.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 5:46 PM