Datuk Patinggi Abang Johari menunjukkan senarai tujuh inisiatif pakej BKSS 4.0 yang dilaksanakan di Sarawak hingga Disember ini. FOTO IHSAN JABATAN PENERBANGAN
Datuk Patinggi Abang Johari menunjukkan senarai tujuh inisiatif pakej BKSS 4.0 yang dilaksanakan di Sarawak hingga Disember ini. FOTO IHSAN JABATAN PENERBANGAN
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kerajaan Sarawak menggariskan tujuh inisiatif dalam pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 4.0 (BKSS 4.0) bagi mengurangkan kesan pandemik Covid-19 terhadap rakyat negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, langkah itu diputuskan berikutan peningkatan kes Covid-19 yang di negara ini yang menjejaskan sektor perniagaan serta kehidupan rakyat.

Beliau berkata, keseluruhan peruntukan yang disediakan dalam pelaksanaan tujuh inisiatif itu yang dilaksanakan sehingga Disember ini berjumlah RM104.84 juta.

"Tujuh inisiatif itu ialah diskaun bil elektrik, diskaun bil air, diskaun sewa Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) sebanyak 50 peratus untuk kediaman, bantuan one off RM500 untuk pemandu e-hailing dan pengajar sekolah memandu.

"Selain itu, potongan 50 peratus disediakan untuk sewa gerai, pengecualian yuran lesen serta pengecualian sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sektor runcit yang beroperasi di premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri atau badan berkanun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pakej BKSS BKSS 4.0 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, diskaun bil elektrik sebanyak lima hingga 25 peratus dilaksanakan untuk bil bulan Oktober hingga Disember bagi pengguna domestik, komersial dan perindustrian

"Potongan harga itu akan memberi manfaat kepada 686,847 pengguna di seluruh Sarawak dan kos terkumpul diskaun berjumlah RM83.4 juta akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak," katanya.

Mengenai diskaun bil air, Abang Johari berkata, pengguna domestik, komersial dan industri akan terus diberi potongan 10 peratus hingga 25 peratus untuk bil bagi bulan Oktober hingga Disember 2020 yang memberi manfaat kepada 568,247 pengguna dan kerajaan menanggung sejumlah RM12.6 juta untuk inisiatif itu.

Katanya, langkah tambahan dalam BKSS 4.0 ialah bayaran one-off RM500 kepada pemandu perkhidmatan e-hailing dan guru sekolah memandu.

"Pada Julai lalu, kerajaan Sarawak membantu pihak berkaitan dalam sektor pengangkutan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 seperti pemandu teksi, pengendali bas sekolah dan van, pengendali van berlesen dan pengenali perahu penambang di negeri ini.

"Kali ini tanpa meminggirkan pemandu e-hailing, kabinet Sarawak memutuskan untuk memberikan bantuan serupa kepada 2,396 pemandu e-hailing dan 791 guru sekolah memandu di negeri ini adalah sebanyak RM1.59 juta dan pembayaran akan dibuat menerusi aplikasi Sarawak Pay," katanya.

Mengenai diskaun sebanyak 50 peratus bagi skim sewa rumah HDC ia merangkumi tempoh tiga bulan iaitu dari Oktober hingga Disember 2020, Abang Johari berkata, ia memberi manfaat kepada lebih daripada 3,200 pelanggan yang menyewa rumah HDC di seluruh Sarawak.

"Untuk diskaun sebanyak 50 peratus untuk sewa pasar dan gerai juga merangkumi jangka masa tiga bulan lagi hingga Disember 2020 dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 penjaja yang menyewa pasar dan gerai-gerai terutama di bawah bidang kuasa Majlis Tempatan," katanya.

Katanya, kerajaan Sarawak terus memberikan pengecualian permit dan yuran lesen kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan pengusaha tamu.

Pengecualian itu akan memberi faedah kepada pemegang lesen di pelbagai pihak berkuasa tempatan di seluruh Sarawak dan akan meringankan beban rakyat yang menelan belanja kerajaan negeri sebanyak RM4.12 Juta.

Selain itu kata beliau kerajaan negeri juga akan terus memperluas pengecualian sewa kepada PKS di sektor runcit yang beroperasi di premis milik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Ia termasuk di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) dan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 1:46 PM