MUHAMMAD Idzam Jaafar meninjau proses pemotongan bekalan elektrik di Jalan Jejaka 9, Cheras. FOTO Ihsan Polis.
MUHAMMAD Idzam Jaafar meninjau proses pemotongan bekalan elektrik di Jalan Jejaka 9, Cheras. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 22 premis di daerah Cheras, di sini, diserbu membabitkan tangkapan 25 individu berkaitan perjudian bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, sebanyak 21 premis akan diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik.

"Tindakan pemotongan elektrik itu dibuat mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289).

"Dalam serbuan berkenaan, terdapat 12 telefon bimbit, empat tablet dan 100 komputer dirampas selain wang tunai berjumlah RM1,626.

"Semua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(c), Seksyen 4(1)(g) dan Seksyen 4B(a) akta sama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis di Jalan Jejaka 9, Maluri, di sini, hari ini.

Beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang.

"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

"Pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian di sekitar daerah Cheras.

"Maklumat-maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92840083, Hotline Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 4:30 PM