X
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Program Outreach Vaksinasi Covid-19 termasuk perkhidmatan bergerak akan dipertingkatkan bagi memastikan sasaran 80 peratus populasi dewasa lengkap menerima vaksinasi menjelang hujung bulan ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, langkah itu bagi mencapai tahap imuniti kelompok yang disasarkan.

Menurutnya, ia juga untuk memastikan rakyat yang layak menerima vaksinasi terutama di beberapa negeri yang merekodkan tahap vaksinasi rendah selain mengurangkan kesangsian segelintir masyarakat terhadap keberkesanan vaksin.

Katanya, pihaknya giat memperbanyakkan kempen meningkatkan kadar vaksinasi di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Sabah dan Johor kerana masih merekodkan kadar vaksinasi yang rendah.

"Antara inisiatif kita gunakan adalah dengan menambah jumlah vaksin yang mencukupi (kerana) bagi meningkatkan jumlah kadar vaksinasi di negeri-negeri berkenaan.

"Ada sesetengah negeri hampir selesai memberi vaksin kepada mereka yang mendaftar dalam MySejahtera, namun masih terdapat mereka yang tidak mendaftar menerusi aplikasi berkenaan.

"Mereka ini sebenarnya perlu kita cari demi memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa divaksin menjelang akhir bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Vaksinasi di Kampung Losong, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Dr Adham turut memberikan suntikan dos pertama vaksin Sinovac kepada Jasmi Azmil Abdullah, 23, yang menghidap penyakit 'cerebral palsy'.

Dr Adham berkata, sebagai penyelaras Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), pihaknya mempergiatkan kempen untuk pemberian vaksin dengan pemantauan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, berikutan itu CITF turun ke negeri-negeri untuk memastikan penyelarasan pemberian vaksin dapat dilaksanakan sebaik mungkin termasuk memperbanyakkan program outreach.

"Setakat ini kempen kita ialah untuk mereka menerima vaksin yang selamat, berkesan dan berkualiti (kerana) semua rakyat Malaysia berhak mendapatkan vaksin untuk memastikan kita mencapai imuniti kelompok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 7:08 PM