DR Saharuddin menunjukkan poster kempen sukarelawan Pejuang. FOTO Ahmad Ismail
DR Saharuddin menunjukkan poster kempen sukarelawan Pejuang. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bertanding di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh berkata, parti itu sudah mengumumkan tidak menyokong mana-mana pihak dan bertanding sendirian walaupun tidak di semua 56 kerusi DUN.

"Calon yang dipilih adalah dalam kalangan belia, wanita, profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), bekas pegawai kerajaan, ahli perniagaan. Nama calon akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Keutamaan lokasi calon Pejuang dinilai berdasarkan majoriti pengundi Melayu di kawasan masing-masing," katanya dalam sidang media di Program Perasmian Pejabat Sekretariat Parti Pejuang, di Segamat Baru di sini, hari ini.

Katanya, beliau bagaimanapun terbuka jika mana-mana parti mahu bekerjasama dengan Pejuang pada PRN negeri nanti.

Beliau yang juga Bendahari Pusat parti berkata, pihaknya yakin calon yang dipilih mempunyai kriteria dipercayai iaitu tidak akan berlaku isu lompat parti.

Menurutnya, Pejuang Johor akan mula menggerakkan siri jelajah ke seluruh negeri pada setiap Sabtu. "Kita akan memperkenalkan parti melalui jelajah Tebuk, pada logo, warna, bendera dan lain-lain, supaya orang tahu Pejuang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 10:10 PM