Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke persidangan hari terakhir Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu tiba pada 11.22 pagi diiringi Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) duduk di barisan sama dengan dua bekas Menteri Besar Johor iaitu Datuk Osman Sapian (Bersatu-Kempas) dan Datuk Dr Sahruddin Jamal (Bersatu-Bukit Kepong).

Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor ke-13 pada 1986 hingga 1995 selepas memenangi kerusi DUN Bukit Serampang.

Hari terakhir sidang DUN Johor hari ini menjadi perhatian susulan perkembangan politik yang berlaku di Perak kelmarin apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu gagal memperoleh sokongan majoriti usul undi percaya sebagai Menteri Besar Perak dikemukakan.

Kedudukan Hasni sebagai Menteri Besar Johor sama ada kekal atau tergugat akan ditentukan menerusi pengundian Belanjawan Johor 2021 yang bakal berlangsung pada Sidang DUN Johor hari ini.

DUN Johor yang memiliki 56 kerusi dengan Umno dan DAP masing-masing mempunyai 14 kerusi, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).

Pihak kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) memiliki 29 kerusi, manakala blok pembangkang dengan 27 kerusi DUN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 11:46 AM