SETIAUSAHA Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Kamel Mohamad. FOTO SYAFEEQ AHMAD
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Kamel Mohamad. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Amir Mamat


Ayer Keroh: Keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka tidak menjejaskan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Kamel Mohamad berkata, pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa dan beliau akan memantau penyampaian perkhidmatan semua jabatan serta agensi bagi memastikan kelancaran urusan khususnya berkaitan dengan kepentingan rakyat.

"Dewan dibubarkan atas perkenan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam berdasarkan Perlembagaan Negeri.

"Apa yang dinyatakan Speaker Dun, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada sidang media, hari ini adalah jelas dan nyata," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 19 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, apabila Dun dibubarkan, satu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari.

Hari ini, Ab Rauf mengumumkan bahawa Mohd Ali bersetuju membubarkan Dun berkuat kuasa semalam, selepas empat Adun menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali.

Proklamasi Pembubaran Dun Ke-14 akan diwartakan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 5:10 PM