SULAIMAN. FOTO Arkib NSTP
SULAIMAN. FOTO Arkib NSTP
Amir Mamat

Ayer Keroh: Berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka serta berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali adalah ketua bagi kerajaan sementara Melaka ketika ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad berkata, Sulaiman akan dibantu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sedia ada untuk mentadbir sementara negeri itu, kecuali mereka yang sudah meletakkan jawatan.

"Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan sementara. Namun, berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel, kerajaan sementara hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara atau negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

"Dalam hal ini, kerajaan sementara tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat atau mengambil apa-apa tindakan boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan terbabit perlu dilaksanakan demi kepentingan awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, bekas Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dilapor tidak mengiktiraf kerajaan sementara serta mempertikaikan lantikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri sementara kerana mendakwa bekas Adun Lendu itu dilantik oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dun Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkannya, susulan tindakan empat Adun menarik sokongan terhadap Sulaiman, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri tumbang.

Mengulas lanjut, Kamel berkata, kerajaan sementara hanya boleh mengambil tindakan seperti menjalankan tugasan rasmi rutin, termasuk menjalankan kuasa di bawah undang-undang bagi memastikan jentera kerajaan negeri berfungsi, selain mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kerajaan sementara itu boleh meneruskan pelaksanaan dasar dan program sedia ada dan peruntukan kewangan baginya sudah disediakan; membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar sudah diluluskan oleh kerajaan negeri atau peruntukan mengenainya sudah diluluskan oleh Dun seperti Belanjawan tahun semasa.

"Di samping itu, kerajaan sementara boleh mengadakan dan menghadiri majlis rasmi yang sudah dijadualkan bagi sesuatu projek atau program kerajaan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 8:48 PM