MAT Saleh pakar membaik pulih kenderaan antik di kediamannya di Kajang. FOTO Samadi Ahmad
MAT Saleh pakar membaik pulih kenderaan antik di kediamannya di Kajang. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Ramai yang mampu membaiki kenderaan namun tidak ramai yang mahir selok belok membaik pulih kereta antik berusia lebih 40 tahun.

Itu antara kebolehan dimilik seorang pesara guru, Mat Saleh Jupri, 61, yang berkecimpung sebagai `pakar' baik pulih kenderaan antik terutama model Volkswagen.

Katanya, dia meminati kereta model Volkswagen sejak memulakan tugas pada 1983 ketika mengajar bidang automotif di sebuah sekolah di Tawau, Sabah.

"Kereta pertama saya miliki adalah model VW Beetle 1002 yang dibeli dengan harga RM500. Ketika itu saya baru bergelar guru dan gaji pun masih kecil.

"Dari situ minat saya mula berkembang kepada kereta klasik. Selepas bersara beberapa tahun lalu, saya memberi tumpuan kepada membaik pulih kereta klasik sepenuh masa, "katanya ketika ditemui tadi.

Menurutnya, dia cukup berpuas hati kerana sering mendapat tawaran daripada peminat tegar kereta antik dan kerja baik pulih dilakukannya sendiri di bengkel terletak di rumahnya.

Beliau yang terkenal dengan panggilan Wak Leh di kalangan peminat kereta lama turut memiliki tiga kereta Volkswagen model VW Beetle 1302, Super Beetle 1303 dan Beetle Super Frame 1300.

Bekas guru Kolej Vokasional Kajang ini berkata, dia sering ditawarkan harga lumayan untuk membeli kenderaan antiknya itu namun tidak enggan menjualnya kepada sesiapa.

Kerja-kerja membaikpulih kereta klasik ini memerlukan ketelitian bagi mengekalkan nilai estetika sesebuah kenderaan yang dibaiki.

"Untuk mendapatkan alat ganti kereta ini, saya akan menempahnya sehingga ke luar negara seperti Thailand, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Saya melakukan kerja baik pulih ini bagi mengisi masa lapang selain dapat memenuhi minat serta mendapat kepuasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 2:36 PM