GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nuraliawati Sabri


Melaka: Lebih RM7.2 juta kompaun dikeluarkan Polis Kontinjen Melaka sepanjang Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) membabitkan pelbagai pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, jumlah kompaun RM7.229 itu dikeluarkan dalam tempoh empat bulan bermula 1 Jun sehingga 3 September lalu sebelum Melaka beralih ke Fasa 2 PPN.

"Sepanjang tempoh itu sebanyak 2, 226 kompaun membabitkan perlanggaran SOP dikeluarkan menjadikan jumlah kesemuanya RM7.229 juta.

"Berdasarkan pecahan, kompaun, RM6. 279 juta dikeluarkan kepada individu manakala RM1.020 juta pula dikeluarkan kepada perbadanan atau syarikat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, kesemua kompaun itu dikeluarkan dibawah Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Selain mengeluarkan kompaun, sebanyak 7, 741 kenderaan yang melalui sekatan jalan raya (SJR) diminta untuk berpatah balik.

"Manakala untuk permohonan rentas negeri pula, kita merekodkan sebanyak 26,143 pemohon dan daripada jumlah itu 64 ditolak atas sebab tertentu," katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut Abdul Majid berkata, susulan peralihan Melaka memasuki Fasa 3 PPN bermula esok kesemua tujuh SJR di negeri ini ditutup bermula tengah malam.

"Bagaimanapun SJR di pintu masuk ke Melaka masih diteruskan memandangkan gelembung pelancongan masih belum dibenarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 6:56 PM