FOTO HIASAN. FOTO Arkib NSTP
FOTO HIASAN. FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol : Biarpun perjalanan rentas negeri bagi pasangan jarak jauh (PJJ) tidak dibenarkan namun masih ramai yang mencuba nasib dan menggunakan alasan 'rindu lara' ketika memohon pada polis.

Bagaimanapun kesemua permohonan itu ditolak polis mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kebanyakan individu yang datang membuat permohonan sudah mengetahui larangan itu namun tetap mahu mencuba biarpun menyedari permohonan bakal ditolak.

Katanya selain PJJ pihaknya juga menolak permohonan rentas daerah dan negeri menggunakan alasan tidak kukuh, dokumen diberi tidak lengkap serta destinasi dituju adalah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Sepanjang fasa pertama PKP 3.0 bermula 1 hingga 14 Jun lalu, kami menolak 267 permohonan rentas daerah dan negeri yang dimohon orang ramai.

"Sebanyak 116 kompaun bagi kesalahan rentas daerah dan negeri pula dikeluarkan dalam tempoh sama kepada orang ramai yang melanggar SOP berkenaan," katanya tadi.

Katanya, antara kesalahan paling tinggi ialah kegagalan mengimbas MySejahtera atau daftar secara manual membabitkan 59 kompaun dikeluarkan.

"Selain itu, seramai 42 individu dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan sosial sebanyak 52 kompaun, menjalankan aktiviti perjudian sebanyak 40 kompaun dan rentas daerah / negeri tanpa kebenaran sebanyak 20 kompaun.

"Sehingga semalam, sebanyak 136 kompaun sudah dibayar dengan jumlah kutipan sebanyak RM91,625," katanya.

"Polis juga mengalu - alukan orang awam menyalurkan maklumat melalui aplikasi Whatsapp Bilik Gerakan IPD Jempol 011-58901412 sekiranya terdapat pelanggaran SOP dimana - mana tempat di dalam daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 3:00 PM