Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis Kelantan mengekalkan 44 sekatan jalan raya (SJR) di negeri itu walaupun memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, walaupun Kelantan masuk fasa kedua PPN, namun aktiviti rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan.

"SJR diadakan seperti biasa dan kita mengekalkan 44 sekatan jalan di semua daerah termasuk di sempadan negeri.

"Susulan Kelantan masuk fasa kedua PPN ini juga, beberapa aktiviti yang dibenarkan seperti kedai buku dan aktiviti riadah yang tidak bersentuhan.

"Bilangan penumpang di dalam kenderaan juga dibenarkan tiga orang bagi membawa keluarga yang sakit," katanya ketika ditemui di SJR Jalan Hamzah di sini, hari ini.

ABDULLAH (kiri) melihat anggota polis memantau pergerakan kenderaan di SJR Jalan Hamzah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ABDULLAH (kiri) melihat anggota polis memantau pergerakan kenderaan di SJR Jalan Hamzah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu, beliau mengagihkan 70 bungkus sarapan pagi kepada petugas barisan hadapan yang disumbangkan oleh seorang peniaga, Azhar Mustapa.

Pada perkembangan lain, Abdullah berkata, menerusi Op Patuh, 23 kompaun dikeluarkan semalam iaitu di Kuala Krai, Pasir Puteh, Tumpat dan Gua Musang.

"Sehingga semalam juga sebanyak 1,690 premis perniagaan, kilang dan tempat tinggal pekerja yang diperiksa dan sebanyak 223 kompaun dikeluarkan.

"Kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan individu tidak memakai pelitup muka dan tidak daftar masuk.

"Bagi kesalahan premis, kompaun dikeluarkan kerana tidak menyediakan buku rekod daftar keluar masuk, MySejahtera dan tiada cecair pensanitasi tangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 11:21 AM