PENDUDUK Kampung Haji Abas, Mukim Bongor, membersihkan lumpur di persekitaran rumah. FOTO Luqman Hakim Zubir
PENDUDUK Kampung Haji Abas, Mukim Bongor, membersihkan lumpur di persekitaran rumah. FOTO Luqman Hakim Zubir
Safuri Kamarudin


Baling: Penduduk Kampung Haji Abas, Bongor di sini, sudah lali dengan banjir yang melanda sehingga tiga kali dalam tempoh setahun.

Setiap kali ditimpa musibah itu, penduduk bukan sahaja menanggung kerugian apabila banyak kelengkapan rumah dan harta benda rosak, malah terpaksa berkorban masa dan keringat membersihkan rumah.

Seorang penduduk, Tengku Faridah Tengku Md Akib, 67, berkata setiap kali hujan lebat lebih dua jam, rumahnya pasti dinaiki air kerana kedudukannya berdekatan Sungai Ketil.

"Dalam setahun berlaku banjir sampai tiga kali dan banyak barangan yang rosak termasuk perabot dan perkakasan elektrik.

"Letih setiap kali berlaku banjir kerana terpaksa membersih di rumah yang penuh selut melekat di dinding dan sampah sarap," katanya.

Tengku Faridah berkata, setiap kali berlaku banjir keluarganya terpaksa mengambil masa dua hingga tiga hari untuk membersih rumah.

"Kadang sampai demam kerana terlalu letih. Bila hujan lebat waktu petang atau malam hati mula berdebar kerana bimbang berlaku banjir air masuk rumah," katanya ketika ditemui sedang membersih rumah, hari ini.

Manakala Mohd Adli Abdul Muin, 37, berkata setiap kali berlaku banjir mesti ada barang yang rosak tidak dapat diselamatkan.

"Bagaimanapun kali ini saya sekeluarga memindahkan barang ke tempat selamat dengan segera apabila hujan lebat berterusan.

"Apabila hujan lebat waktu petang saya mula berkemas barang untuk dipindahkan," katanya.

Dalam kejadian banjir kelmarin seramai 149 penduduk daripada 151 keluarga di daerah ini dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), selepas kediaman masing-masing dinaiki air akibat limpahan Sungai Ketil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 1:14 PM