Oleh Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Pengurusan Masjid Sultan Ismail Petra, Mukim Banggol di sini, sudah memperuntukkan hampir RM100,000 untuk agihan kepada 200 asnaf dalam mukim berkenaan.

Imam tua masjid itu, Muhammad Ammar Azlan berkata, setiap bulan, mereka akan membelanjakan RM6,000 wang tabung kebajikan masjid untuk golongan berkenaan.

"Setiap keluarga asnaf menerima kupon RM30. Ia boleh digunakan untuk membeli makanan di kedai runcit sekitar. Inisiatif ini dimulakan sejak awal penularan pandemik Covid-19 tahun lalu.

"Kaedah ini dibuat disebabkan ramai penduduk terputus bekalan makanan di awal pandemik. Pengurusan masjid menggunakan wang tabung sedia ada ketika itu untuk membeli makanan asas sebelum diagihkan.

"Sumbangan juga hasil keprihatinan masyarakat yang turut mahu membantu 200 keluarga asnaf ini," katanya ditemui hari ini.

Muhammad Ammar berkata, selain itu, pihaknya juga membuat permohonan kepada banyak pihak untuk mendapatkan bantuan makanan asas memandangkan masih ramai lagi terkesan kerana belum mampu bekerja.

Beliau berkata, bantuan diberikan hanya kepada keluarga yang betul-betul layak melalui bancian yang dilakukan pihaknya.

"Kami akan turun padang memeriksa latar belakang mereka, bilangan ahli keluarga dan sebagainya sebelum kenal-pasti mereka itu layak digelar asnaf atau sebaliknya.

"Jika sudah dipastikan, keluarga itu juga secara automatik akan dijadikan anak angkat masjid," katanya.

Terdahulu, Muhammad Ammar menerima sumbangan 150 pek beras seberat 750 kilogram (kg) daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kelantan.

Agihan sempena Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu dibuat oleh Pengarahnya, Mohd Rakbi Mat Saud kepada dua masjid termasuk Masjid Mukim Panji.

Muhammad Ammar berkata, pihaknya membuat permohonan bantuan beras itu bulan lalu dan beras yang diterima hari ini akan diagihkan dalam masa terdekat.

"Separuh daripada bekalan yang diterima ini akan diagihkan serta-merta manakala selebihnya akan disimpan untuk mereka yang menjalani kuarantin kendiri yang sudah pasti terputus bekalan makanan kerana tidak dapat keluar rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 3:36 PM
Pengarah Jabatan Kastan Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud (kiri), menyerahkan beras kepada Imam Tua Masjid Sultan Ismail Petra, Mukim Banggol, Muhammad Ammar Azlan, ketika majlis penyerahan 150 pek beras daripada JKDM Negeri Kelantan di sini, hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Pengarah Jabatan Kastan Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud (kiri), menyerahkan beras kepada Imam Tua Masjid Sultan Ismail Petra, Mukim Banggol, Muhammad Ammar Azlan, ketika majlis penyerahan 150 pek beras daripada JKDM Negeri Kelantan di sini, hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS