SUKARELAWAN MyFundAction Cawangan Perak membekalkan 30 kotak Rezeki Ummat untuk Kariah di Masjid Ar Rahmaniah, Tronoh. FOTO IHSAN MyFundAction Perak
SUKARELAWAN MyFundAction Cawangan Perak membekalkan 30 kotak Rezeki Ummat untuk Kariah di Masjid Ar Rahmaniah, Tronoh. FOTO IHSAN MyFundAction Perak
Balqis Jazimah Zahari


YAYASAN Kebajikan Muslim (MyFundAction) mengedar kotak makanan kepada 77 keluarga asnaf di Perak yang terputus bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumbangan menerusi projek Rezeki Ummat itu turut mendapat kerjasama Pertubuhan Basmi Kelaparan (F4H) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Pengurus Cawangan MyFundAction Perak, Norazian Mat Isa berkata, sumbangan itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) yang terkesan dengan pelaksanaan PKP.

Menurutnya, bantuan makanan itu disalurkan kepada keluarga asnaf di Pasir Puteh, Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Conolly, Masjid Ar Rahmaniah, Tronoh, Batu Gajah dan Bandaraya Ipoh.

“Semoga usaha kecil ini memberikan impak yang positif pada masyarakat yang berdepan kesulitan sepanjang pelaksanaan PKP dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“MyFundAction dan F4H menyediakan peruntukan sebanyak RM150,000 dana bagi mengedarkan sumbangan berkenaan,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menyerahkan sumbangan 200 set makanan ‘Qurban Pack’ kepada Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk diagihkan kepada penuntut di kampus.

Sementara itu, penerima bantuan yang mahu dikenali sebagai Hawariah berkata, dia bersyukur kerana masih ada pihak yang prihatin dan menghulurkan bantuan di saat sukar.

“Beras kami dah nak habis, kami nak tambah stok pun tak mampu kerana kewangan tak cukup. Alhamdulillah, ada yang datang bawa bekalan tambahan buat kami,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 7:11 PM