Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Penerbitan buku 'Ibadah Haji dan Umrah: Persekitaran, Risiko Penyakit dan Penjagaan Kesihatan di Tanah Suci' mampu memberi panduan kepada umat Islam terhadap langkah pencegahan dan rawatan ketika berada di Makkah.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, buku ilmiah berkaitan kesihatan jemaah haji dan umrah itu sesuai dibaca dan menjadi panduan kepada semua umat Islam yang menunaikan ibadat haji dan umrah.

Menurutnya, buku itu berkisar kepada ibadat haji dan umrah dengan memfokus kepada persekitaran di tanah suci, pemakanan/diet, risiko, komplikasi, jenis rawatan dan langkah pencegahan yang perlu diambil oleh jemaah supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat.

"Antara penyakit yang dibincangkan ialah MERS-Cov, pneumokokos, meningokokus, influenza, asma, alergi dan penyakit kulit.

"Justeru, buku ini sangat berguna dan harus dimiliki oleh setiap jemaah haji dan umrah untuk membantu dalam penjagaan kesihatan yang optimum semasa di tanah suci," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Haji anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM di Bilik Mesyuarat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi), di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Buku itu disunting Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, Nik Norliza Nik Hassan dan Wan Nor Amilah Wan Abdul Wahab masing-masing dari IPSAS, UPM dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Mohd Roslan berkata, usaha dan ketekunan menghasilkan buku bukanlah tugas mudah kerana kearifan dalam bidang diperlukan, dipandu dengan disiplin penulis yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menyiapkan manuskrip.

"Oleh yang demikian, penghasilan buku ilmiah dan buku umum hendaklah turut dilakukan oleh pensyarah untuk berkongsi kepakaran masing-masing dengan masyarakat.

"Penghasilan buku ini juga turut membentuk reputasi dan kewibawaan IPSAS UPM yang menjadi pusat tanggungjawab yang mengutamakan kesarjanaan untuk dikongsi dan dimanfaat bersama dengan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 1:04 PM
IDRIS (kiri) menyempurnakan majlis pelancaran  buku Ibadah Haji dan Umrah: Persekitaran, Risiko Penyakit dan Penjagaan Kesihatan di Tanah Suci sambil diperhatikan Mohd Roslan. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
IDRIS (kiri) menyempurnakan majlis pelancaran buku Ibadah Haji dan Umrah: Persekitaran, Risiko Penyakit dan Penjagaan Kesihatan di Tanah Suci sambil diperhatikan Mohd Roslan. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi