KERAJAAN Arab Saudi belum memutuskan penangguhan ibadah haji tahun ini. FOTO Arkib NSTP
KERAJAAN Arab Saudi belum memutuskan penangguhan ibadah haji tahun ini. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

BELUM ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan penangguhan ibadah haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan demikian selepas pertemuannya semalam dengan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien.

Zulkifli berkata, berdasarkan penjelasan Mahmoud dalam pertemuan yang turut dihadiri Atase Agama Kedutaan Arab Saudi Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai’an itu, menjelaskan kerajaan Arab Saudi belum memutuskan perkara berkenaan.

"Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan perkara ini.

"Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak ini dan memelihara dua kota suci umat Islam (Makkah dan Madinah) dari sebarang perkara yang tidak diingini.

"Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya. Amin. Sekian, terima kasih," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, turut hadir dalam pertemuan semalam untuk mendapatkan penjelasan berkenaan ialah Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Ruslan Said.

Bulan lalu Arab Saudi mengeluarkan arahan larangan di Masjidil Haram untuk mengerjakan umrah termasuk bagi rakyatnya selain menyekat ziarah ke Masjid Nabawi.

Ekoran kebimbangan penularan Covid-19 juga, Arab Saudi turut menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya termasuk dua kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah.

Mengikut catatan sejarah, halangan ke Makkah bagi mengerjakan rukun Islam kelima ibadat haji sudah berlaku sebanyak 40 kali.

Masjidil Haram atau Kaabah pernah ditutup bermula 865 hingga 1987 akibat pelbagai sebab seperti peperangan, kebakaran dan wabak penyakit, selain proses baik pulih.

Antara peristiwa tercatat dalam lipatan sejarah berkaitan larangan umrah dan haji:

865 Masihi – Seorang lelaki bernama Ismail ibn Yusuf Al-Alawi membunuh ribuan jemaah beramai-ramai dan membawa kepada penutupan kawasan Makkah dan Madinah.

930 Masihi – Abu Thahir al-Qaramithi daripada golongan Syiah Ismailiyyah datang ke Makkah dan membunuh jemaah haji yang sedang beribadah. Batu hajarul aswad juga dicuri dan dikembalikan semula setelah 22 tahun disimpan di daerah Hajr.

• 983 Masihi – Berlaku perselisihan Bani Abbas dan Bani ‘Abid. Selama lapan tahun Muslimin dari Iraq dilarang melaksanakan ibadah Haji.

•1257 Masihi – Pada tahun ini semua penduduk Hijaz tidak dibenarkan mengerjakan haji.

•1258 Masihi – Berlaku serangan oleh tentera Mongolia di pusat pemerintahan Islam di Baghdad. Mereka membunuh dua juta orang, membuang banyak buku ke dalam sungai serta membunuh khalifah. Kekacauan itu menyebabkan umat Islam takut untuk keluar mengerjakan haji kerana takut dibunuh.

•1814 Masihi – Kawasan Makkah pernah ditutup kerana wabak taun. Kira-kira 8,000 orang meninggal dunia kerana wabak ini.

•1831 Masihi – Terjadi wabak Hindi yang dipercayai berpunca dari India yang akhirnya membunuh tiga perempat jemaah haji.

•1837 Masihi – Kawasan Makkah ditutup dan haji tidak dijalankan sehingga tiga tahun seterusnya kerana penyakit berjangkit/epidemik.

•1846 Masihi – Wabak Kolera menyerang pada tahun ini. Ibadah haji dan umrah dihentikan.

•1858 Masihi – Berlaku penyebaran penyakit berjangkit yang teruk sehingga penduduk Hijaz berhijrah ke Mesir untuk menyelamatkan diri. Pusat kuarantin dibangunkan di Bi’r Anbar bagi mengawal jangkitan.

•1864 Masihi – Kira-kira 1,000 jemaah haji meninggal dunia setiap hari kerana wabak. Mesir turut bertungkus-lumus bantu termasuk menghantar doktor dan membangunkan pusat kuarantin di sekitar Makkah dan Madinah bagi membendungnya.

•1892 Masihi – Wabak kolera menyerang dan menyebabkan kematian ribuan jemaah haji. Kematian bertambah di Arafah dan Mina. Dilaporkan sehingga mayat-mayat bertimbun sebelum dapat ditanam.

•1987 Masihi – Lebih 10,000 mangsa terkena jangkitan Meningitis pada tahun ini dan memberi kesan kepada ibadah umrah dan haji.

Berikutan itu sebarang keputusan rasmi terbaru kelak bersifat hanya sementara dalam usaha bersatu-padu global memutuskan Covid-19 sekali gus menghapuskan virus itu dari muka bumi ini.

Kerajaan Arab Saudi jika berbuat demikian hanya meneruskan tradisi yang pernah dilakukan kerajaan Islam sebelum ini yang menjaga dua kota suci yang turut dipanggil al-Haramain itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 4:12 PM