PERSEDIAAN ke Tanah Suci bukan perkara mudah bagi sebilangan orang kerana memerlukan ketahanan fizikal dan mental serta membabitkan kos yang tinggi. FOTO Arkib Tabung Haji
PERSEDIAAN ke Tanah Suci bukan perkara mudah bagi sebilangan orang kerana memerlukan ketahanan fizikal dan mental serta membabitkan kos yang tinggi. FOTO Arkib Tabung Haji
 Datuk Mohd Ajib Ismail

Kerancakan umat Islam menganjurkan tradisi majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri menghampiri ke penghujungnya, kini tiba musim persediaan menunaikan ibadah haji menjelang bulan Zulhijah tidak lama lagi. Kebanyakan Kursus Perdana Haji di peringkat negeri-negeri juga selesai dilaksanakan. Bagi individu yang berpeluang ke Tanah Suci kali ini, pelbagai persiapan dilakukan sama ada dari aspek kewangan, mengikuti kursus haji dan pelbagai lagi. Persediaan untuk pergi ke Tanah Suci bukanlah perkara yang mudah bagi sebilangan orang kerana memerlukan ketahanan fizikal dan mental serta membabitkan kos yang tinggi. Sebahagian besar umat Islam pula mungkin hanya mampu menjejakkan kaki ke sana sekali seumur hidup. Kuota haji Malaysia pada tahun ini kembali kepada sediakala iaitu seramai 31,600 orang sebagaimana sebelum pandemik Covid-19 melanda negara. Usaha sentiasa dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mendapatkan penambahan kuota bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menunaikan haji. Selain itu, Lembaga Tabung Haji juga meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar walaupun kos tersebut meningkat saban tahun.

Ibadah haji adalah suatu tuntutan dalam rukun Islam kelima yang bertujuan untuk mendekatkan diri manusia kepada Allah SWT. Ibadah tersebut bukanlah untuk tujuan bermegah-megah atau mendapatkan gelaran, jauh sekali menjadi modal untuk meraih populariti terutamanya di platform media sosial. Ibadah haji atau umrah dilaksanakan hanya semata-mata kerana Allah SWT dan bukan disebabkan oleh tujuan lain seperti ikut-ikutan atau percutian dan pelancongan. Justeru umat Islam dinasihatkan supaya sentiasa menjaga hati agar dijauhkan dari sifat riak atau menunjuk-nunjuk serta merasakan diri sendiri lebih baik daripada orang lain dan mempunyai kewangan yang lebih kerana dapat berkunjung ke Tanah Suci. Segeralah beristighfar kepada Allah SWT sekiranya terlintas atau terdetik perasaan tersebut di dalam hati.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah". Ayat tersebut mengingatkan kita semua agar sentiasa mengikhlaskan niat dalam menunaikan ibadah haji dan umrah. Oleh itu umat Islam harus mengambil peluang dan memanfaatkan masa dengan melaksanakan sebanyak mungkin ibadah seperti solat dan berdoa memohon segala hajat dan keampunan serta merebut ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT. Fadilat yang diperoleh para tetamu Allah amatlah besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah rombongan Allah, jika mereka mendoakan sesuatu maka Allah akan memperkenankannya dan jika mereka memohon ampun, akan diampunkan." (Riwayat Ibnu Majah, Tabarani dan al-Baihaqi)

Tuntutan menunaikan ibadah haji dijelaskan melalui firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk." Istitha'ah (berkemampuan) yang dimaksudkan dalam ayat tersebut merangkumi kemampuan dari segi rohani dan fizikal seperti kewangan, kesihatan, keselamatan dan urusan perjalanan ke Makkah. Antara syarat utama dalam menyiapkan diri untuk melakukan ibadah haji adalah istitha'ah atau kemampuan dalam aspek kewangan. Para jemaah perlu memiliki wang simpanan yang secukupnya untuk menampung pelbagai kos seperti penerbangan, makanan, penginapan dan banyak lagi. Bagi jemaah yang mempunyai sejarah penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau sebagainya, perlu mendapatkan nasihat berkaitan kesihatan daripada pakar perubatan. Dari aspek kerohanian pula, hati mesti dibersihkan dari dosa-dosa besar atau kecil. Amalan-amalan seperti solat sunat Taubat, sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT, memohon maaf kepada ahli keluarga, sahabat handai dan sesama manusia perlu dilazimi sebelum berangkat ke Tanah Suci. Selain itu, perbanyakkanlah melakukan amalan-amalan sunat lain seperti solat sunat Tahajud, membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah supaya dapat membiasakan diri dengan amalan tersebut dan mudah untuk melaksanakannya apabila berada di Tanah Suci kelak. Selain itu, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor baru-baru ini juga wajar dihayati agar semua jemaah haji mengekalkan disiplin dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci. 

Lembaga Tabung Haji melaporkan seramai 160 orang petugas haji yang terdiri daripada petugas kebajikan, perubatan dan media mula berangkat ke Tanah Suci Makkah secara berperingkat bagi membuat persiapan awal untuk menyantuni dhuyufurrahman dari aspek kebajikan dan keselamatan. Setiap tahun pelbagai perkhidmatan dan prasarana baru disediakan demi keselesaan para Jemaah sehingga usaha tersebut menerima pelbagai pengiktirafan dan menjadi model ikutan negara-negara lain. Anugerah Labbaitom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik dalam dunia Islam daripada Kerajaan Arab Saudi ketika Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi misalnya adalah pengiktirafan besar kepada negara. Anugerah tersebut membuktikan keupayaan Tabung Haji mempersiapkan para jemaah menerusi program bimbingan dalam aspek ilmu haji, menjaga keselamatan dan kesihatan, sikap kendiri, peradaban serta kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.

Pelbagai usaha telah dilakukan bagi menggalakkan umat Islam menanam hasrat dan cita-cita untuk menunaikan haji bermula dari peringkat awal kanak-kanak. Ilmu dan pendedahan disampaikan kepada murid-murid di sekolah-sekolah di bawah seliaan Jawi melalui penganjuran kursus haji cilik bagi merasai pengalaman sebenar menunaikan haji. Masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan juga giat melaksanakan pelbagai kursus peningkatan kefahaman kualiti haji melalui kursus persediaan haji atau umrah serta saringan perubatan. Marilah kita berdoa agar diberikan kesempatan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah yang barakah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga masjid iaitu Masjid Al-Haram, Masjid Rasulullah SAW dan juga Masjid Al-Aqsa." (Riwayat al-Bukhari)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 7:00 AM