Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan menafikan dakwaan pembangkang bahawa Malaysia menerima arahan daripada China, susulan cadangannya untuk mendapatkan pandangan kuasa besar itu.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kementeriannya hanya bercadang mendapatkan pandangan China terhadap pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai Aukus itu.

Menurutnya, kenyataan Pakatan Harapan (PH) itu adalah tidak berasas kerana apa yang dimaklumkan kepada Dewan Rakyat adalah bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas China, jauh sekali untuk dapatkan arahan daripada republik itu.

"Takkanlah kementerian disalahkan apabila kita nak jumpa China dapatkan maklum balas dan apa tindakan republik itu terhadap Aukus.

"Ingin saya jelaskan semula, cadangan mendapatkan pandangan China terhadap isu Aukus supaya Malaysia dan negara Asia Tenggara lain boleh ambil tindakan proaktif.

"Malaysia baik dengan dua-dua pihak, China atau pun Amerika Syarikat, saling menghormati.

"Tidak ada yang boleh laga-lagakan hubungan baik negara dengan dua kuasa besar itu.

"Namun, kemesraan itu tidak bermakna kita akan berkompromi terhadap kedaulatan negara kita," katanya.

Hishammuddin ketika sidang media selepas lawatan kerja ke PPV pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD) Kem Ulu Tiram, Johor Bahru hari ini. Foto Nur Aisyah Mazalan
Hishammuddin ketika sidang media selepas lawatan kerja ke PPV pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD) Kem Ulu Tiram, Johor Bahru hari ini. Foto Nur Aisyah Mazalan

Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram di sini, hari ini.

Hari ini, Jawatankuasa Keselamatan PH (JKPH) dilaporkan mendakwa bahawa cadangan Malaysia mendapatkan pandangan China itu sebagai menerima arahan daripada kuasa besar itu.

Rabu lalu, Hishammuddin dilaporkan memaklumkan Malaysia akan mendapatkan pandangan daripada China, khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pembentukan pembentukan Aukus.

Hishammuddin dilaporkan berkata, pihaknya bercadang untuk melakukan lawatan kerja ke negara republik itu dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan.

Dalam pada itu, Hishammuddin menafikan dakwaan kerajaan akan memansuhkan 'MyTravel Pass' dalam masa terdekat.

Katanya, sumber dan laporan berita sebuah portal berkenaan juga adalah tidak tepat.

"Pada waktu ini tumpuan kerajaan adalah untuk kebenaran rentas negeri.

"Bagaimana kita nak fikirkan rentas negara, apabila rentas negeri pun belum kita putuskan.

"Namun saya tidak menafikan bahawa perancangan untuk melihat 'MyTravel Pass' serta pendekatan lebih baik untuk rentas negara sudah difikirkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Insya-Allah, kita akan bentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Endemik yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri dan negara," katanya.

MyTravel Pass diperkenalkan kerajaan ketika negara dilanda wabak Covid-19 yang memerlukan rakyat tempatan membuat permohonan sebelum dibenarkan ke luar negara.

Ia dikatakan rumit kerana prosesnya mengambil masa sehingga 14 hari, sebelum permohonan itu dimaklumkan sama ada diluluskan atau ditolak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 6:49 PM