Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Kerjasama pertahanan dengan negara serantau dipertingkatkan khususnya Asean bagi mengimbangi pengaruh kuasa-kuasa besar penting untuk menghadapi penubuhan perikatan ketenteraan antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (Aukus).

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, biarpun peranan Asean penting dalam berhadapan situasi ini, tidak bermakna Malaysia tidak boleh untuk mendampingi negara Aukus atau negara kuasa besar lain.

"Kebetulan semalam saya dapat berhubung dengan Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto dan beliau menyatakan betapa penting kita 10 negara (Asean) dapat berinteraksi secara dekat khususnya dalam perkembangan terkini iaitu Aukus. Tapi ini tidak bermakna kita tidak boleh terus mendampingi kuasa yang terbabit.

"Kebetulan utusan khas dari Australia akan berjumpa saya hari ini dan apa yang kita lakukan melalui diplomasi ini, bukan untuk menyatakan bahawa kita ini hebat sangat, tetapi sekurang-kurangnya kita ada pendirian kita sebagai sebuah negara berdaulat," katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata, sama juga bagi negara Asean lain, mereka mempunyai hak untuk mengemukakan pendiriannya kepada mana-mana pihak termasuk kuasa-kuasa besar ini, terutama apabila menyentuh mengenai kedudukan dan kedaulatan negaranya.

"Apabila berdepan dengan isu geopolitik membabitkan rantau kita, sama ada untuk mengimbangi kuasa besar atau kedudukan kita di Laut China Selatan, itu satu cadangan yang tepat (mengenai jaminan kedaulatan) dan jawapan saya ia satu daripada tujuh atau lapan teras yang sudah diberi penekanan kementerian pada hari ini," katanya.

DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein. FOTO Bernama
DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein. FOTO Bernama

Selain mempergiat diplomasi pertahanan melalui kerjasama dua hala dan pelbagai hala, teras lain digariskan Kementerian Pertahanan di bawah RMK-12 termasuk memperketat kawalan sempadan darat, maritim dan udara; menambah baik dasar operasi penguatkuasaan, kawalan sempadan dan pengurusan pendatang asing tanpa izin (Pati) serta memperkenal Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara.

Terdahulu, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) ketika mencelah membangkitkan kebimbangannya mengenai usaha Malaysia menemui China bagi mendapatkan pandangan berkenaan Aukus, sungguhpun Hishammuddin sebelum ini sudah menegaskan pertemuan dicadang itu, bukan bermakna Malaysia akan terima arahan dari China.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai kelewatan perolehan aset pertahanan negara, Hishammuddin akui kelewatan yang berlaku dan memberi jaminan isu berkenaan akan diatasi sebaik mungkin.

"Aset pertahanan mengambil masa. Sekiranya ada kelewatan, ada prosedurnya untuk kita memastikan biarpun dalam masa kelewatan yang ada, ia tidak akan menjejaskan perancangan kita seterusnya. saya tidak nafikan ada aset yang lewat dibekalkan, tapi ini tidak bermakna kita tidak boleh tuntut ganti rugi.

"Kita akan pastikan aset ini dapat disampaikan kepada pihak pengguna dan apa jua masalah yang dihadapi diatasi sebaik mungkin. Projek sakit juga perlu diselesaikan dan perlu diurus, pada masa sama projek hari ini yang perlu diputuskan kita putuskan.

"RMK-12 untuk perancangan lima tahun ke depan dan Bajet 2022 adalah perancangan untuk satu tahun. Jadi kalau sekiranya fokus kepada perkara yang kita boleh selesaikan, kita selesaikan secara telus. Banyak cara untuk kita dapatkan ketelusan dan keadilan kepada kelewatan aset tadi dan saya tidak teragak-agak untuk memastikan ia dapat direalisasikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 2:39 PM