DR Mohd Mizan Mohd Aslam. FOTO Arkib NSTP.
DR Mohd Mizan Mohd Aslam. FOTO Arkib NSTP.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke China dilihat bagi mengimbangi pengaruh dunia barat khususnya untuk rantau Asean.

Lawatan rasmi itu juga memberi isyarat jelas kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa Malaysia menolak kerjasama trilateral antara Australia, England dan AS yang dikenali sebagai AUKUS.

Untuk rekod, perjanjian berkenaan bernilai RM1.08 trilion bakal menjadikan Australia antara kuasa nuklear selain enam buah negara lain sekali gus menjadikan rantau Asia Pasifik dan Asean dalam bahaya.

Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, langkah lawatan kerja rasmi itu sangat tepat sebagai satu isyarat awal bahawa negara menolak sebarang bentuk kemasukan elemen ketenteraan di rantau ini.

Beliau berkata, Malaysia sangat berpegang kepada aspirasi bahawa Asean perlu bebas daripada sebarang kegiatan ketenteraan dan itu dimanifestasikan menerusi lawatan kerja Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, kita tidaklah menolak 100 peratus kerjasama dengan dunia barat sebaliknya mengimbangi antara kedua blok kuasa besar berkenaan.

"Selain itu, ia juga dapat mengukuhkan kerjasama bilateral antara kedua buah negara khususnya untuk sektor ekonomi dan kenyataan Perdana Menteri bahawa masa depan negara tidak ditentukan oleh kuasa besar adalah signifikan," katanya.

Beliau juga melihat bahawa negara memainkan peranan untuk kekal menjadi neutral antara dua blok kuasa besar dunia itu.

"Kita tahu China seakan-akan membuli kita dalam insiden Laut China Selatan dan dalam masa sama, AS sedang cuba memperluaskan pengaruhnya di Asean, jadi, kita memberi isyarat kepada China bahawa Malaysia mempunyai 'big brother' (negara kuasa besar) yang akan membantu kita.

"Sekali lagi, tindakan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengadakan lawatan rasmi ke China sebaik saja berakhirnya pemilihan Presiden China dilihat tepat dan penting.

"Hubungan akrab antara Malaysia-China yang terbina sejak zaman kerajaan Melayu Melaka haruslah kekal utuh dan disuburkan," katanya.

Menurutnya, bagi sejarah moden pula, tahun ini kedua-dua negara bakal meraikan jubli emas 50 tahun hubungan diplomatik yang telah dimeterai pada tahun 1974 yang lalu.

Dijangka lembaran baru bakal memacu kedua-dua negara ke era emas hasil sinergi dalam aspek ekonomi dan perdagangan serta diplomatik bagi menghadapi cabaran geopolitik mendatang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 6:04 PM