SULAIMAN (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Abrar Kampung Seri Minyak, Serkam. FOTO Amir Mamat
SULAIMAN (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Abrar Kampung Seri Minyak, Serkam. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Jasin: Peralihan ke Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Melaka bermula esok, bukan tiket untuk mengaktifkan sepenuhnya sektor pelancongan berikutan sekatan rentas negeri dan daerah yang masih diperketatkan ketika ini.

Sebaliknya, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, keputusan berkenaan adalah sebagai kemudahan bagi pemain industri pelancongan di negeri itu melakukan persediaan rapi untuk menerima pelancong dalam dan luar Melaka pada Fasa 3 PPN kelak.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pemain industri terbabit sudah diarah melakukan persiapan, termasuk mendapatkan suntikan vaksin lengkap dua dos.

"Alhamdulillah, pencapaian 61 peratus rakyat Melaka yang sudah mengambil dos kedua vaksin membolehkan negeri ini melangkah ke Fasa 2 PPN, namun sekatan rentas daerah dan negeri yang masih dikuatkuasakan membataskan sektor pelancongan negeri untuk dibuka sepenuhnya.

"Sebagai negeri pelancongan, saya sudah meminta penggiat industri pelancongan membuat persediaan sebelum kita melangkah ke Fasa 3 yang membolehkan semua sektor kembali beroperasi tanpa sekatan perjalanan rentas negeri atau daerah," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Abrar Kampung Seri Minyak, Serkam di sini hari ini.

Sulaiman turut menyampaikan sumbangan kepada pegawai syarak masjid berkenaan serta golongan kurang bernasib baik.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 merangkap Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Melaka akan beralih kepada Fasa 2 PPN bermula esok, manakala Negeri Sembilan pula akan beralih ke Fasa 3.

Kerajaan turut bersetuju membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program 'gelembung perjalanan' berdasarkan syarat yang ditetapkan.

Sementara itu, Sulaiman berkata, semua prosedur operasi standard (SOP) bagi Fasa 2 PPN di negeri ini akan diumumkan esok.

Katanya, buat masa ini pihaknya masih menunggu keputusan SOP yang sedang dirangka oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dibincangkan dan diteliti semula di peringkat negeri bagi melihat kesesuaian yang boleh dilaksanakan di negeri ini.

"Kita masih menunggu keputusan mesyuarat MKN yang dipengerusikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan di peringkat negeri pula, kita akan bermesyuarat bagi meneliti kesesuaian SOP yang boleh dilaksanakan di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 4:55 PM