DATUK Seri Hamzah Zainuddin hadir memberi sidang media khas mengenai SOP oleh Kementerian Dalam Negeri di Dewan Gemilang, Pejabat KDN Putrajaya. FOTO Hazreen Mohamad
DATUK Seri Hamzah Zainuddin hadir memberi sidang media khas mengenai SOP oleh Kementerian Dalam Negeri di Dewan Gemilang, Pejabat KDN Putrajaya. FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Jemaah Menteri bersetuju untuk meneruskan rayuan dan memohon penangguhan pelaksanaan (stay of execution) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Suriani Kempe dan enam lagi.

Ia berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan ini bagi membolehkan kerajaan tidak dikenakan tindakan penghinaan mahkamah (contempt of court) dan pada masa yang sama, kerajaan mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sehubungan itu, Jemaah Menteri meminta Peguam Negara untuk membawa perkara berkaitan dengan isu kewarganegaraan ini kepada Timbalan Yangdi-Pertuan Agong dalam waktu yang terdekat.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini membincangkan dua keputusan Mahkamah Tinggi berhubung dengan isu kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak yang lahir di luar negara hasil perkahwinan wanita warganegara Malaysia dengan pasangan warganegara asing.

"Terdapat dua keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berbeza, iaitu kes Suriani Kempe dan enam lagi serta kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed dan dua lagi mengenai pentafsiran 'bapa' dalam Jadual Kedua Bahagian II seksyen 1(b) dan 1(c) Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam kes Mahisha Sulaiha yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Mei 2020, ia menyebelahi Kerajaan. Keputusan itu dirayu oleh Mahisha Sulaiha di Mahkamah Rayuan. Ia akan dibicarakan November ini," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 (JKPS), di sini, hari ini.

Hamzah berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Suriani Kempe dan enam lagi, tidak menyebelahi kerajaan.

"Setelah mengambil kira keputusan penghakiman yang berbeza dalam kedua-dua kes itu. Jemaah Menteri bersetuju untuk meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan mahkamah dalam kes membabitkan Suriani itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 8:34 PM