Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Bersama Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh  semalam. FOTO Essa Abu Yamin
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Bersama Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh semalam. FOTO Essa Abu Yamin
Oleh Essa Abu Yamin


Pagoh: Isu pengangguran dan peluang pekerjaan dalam kalangan siswazah antara perkara yang akan diperhalusi dalam Mesyuarat Pemulihan Negara (MPN) Isnin depan.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu adalah antara masalah utama di negara ini susulan wabak Covid-19 yang menyebabkan ramai tidak dapat bekerja atau diberhentikan.

"Antara langkah yang diambil oleh kerajaan ketika pentadbiran saya dan hari ini adalah membantu pekerja dengan memberikan subsidi kepada majikan untuk memastikan mereka tidak diberhentikan.

"Pengangguran dalam kalangan siswazah tidak hanya terjadi ketika waktu wabak Covid-19 melanda negara tetapi isu berkenaan sudah lama berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Bersama Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus mentadbir Majlis Pekerjaan Negara serta mencapai objektif dalam menjana 500,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

"Saya percaya kita semakin dekat dengan sasaran kerana Malaysia memiliki banyak peluang pekerjaan dan ini tidak mempertimbangkan pelaburan baru yang masuk.

"Pelaburan di Malaysia melonjak hingga 200 peratus daripada tahun lalu dan ini akan membantu menjana lebih banyak peluang pekerjaan dalam masa terdekat," katanya.

Katanya, Majlis Pekerjaan Negara bukan sahaja menangani masalah pekerjaan tetapi pekerja yang dikurangkan gaji untuk membantu menambah pendapatan mereka.

"Ketika ini banyak sektor ekonomi dibuka, sekali gus membantu mereka mendapatkan tawaran kerja yang lebih baik termasuk gaji yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 4:52 PM