MUHYIDDIN ketika Program Ziarah Prihatin Komuniti Cina di Pekan Lenga, Pagoh. FOTO Essa Abu Yamin
MUHYIDDIN ketika Program Ziarah Prihatin Komuniti Cina di Pekan Lenga, Pagoh. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin

Pagoh: Majlis Pemulihan Negara (MPN) komited memberi pandangan kepada pihak kerajaan untuk mempertimbangkan negara beralih ke fasa endamik sepenuhnya susulan banyak kelonggaran yang diberikan ketika ini.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara tanggungjawab MPN adalah memberi pandangan dan nasihat berdasarkan fakta yang ada kepada kerajaan.

"Mungkin dalam mesyuarat akan datang dan agenda utamanya adalah dengan membentang laporan Covid-19 dan akan mengambil kira daripada pelbagai sudut dan kemukakan cadangan kepada kerajaan.

"MPN hanya boleh memberi pandangan dan nasihat ketika ini dan keputusan untuk negara beralih ke fasa endemik sepenuhnya adalah pada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Ziarah Prihatin Komuniti Cina di Pekan Lenga, dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, pihak KKM harus bertindak atas data sains, fakta dan tidak boleh sesuka hati mengambil keputusan kerana perkara berkenaan membabitkan hal kesihatan di tahap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Sekarang sudah ada lebih kebebasan dan data-data yang ada menunjukkan kes Covid-19 semakin menurun.

"Pihak KKM boleh memberi pertimbangan tapi yang penting adalah sebahagian besar atau hampir semua sektor ekonomi, sosial, pendidikan sudah kembali seperti sedia kala," katanya.

Beliau berkata, banyak sektor sudah dibuka dengan jumlah perhimpunan besar ketika ini, maka perkara itu menjadi petanda negara sudah boleh beralih ke fasa endemik sepenuhnya.

"MPN akan menyerahkan kepada pihak yang lebih pakar, sekali gus mereka akan menasihati pihak kerajaan untuk mengumumkan negara sudah sampai masa untuk kembali pulih seperti sedia kala.

"Paling penting adalah pulih daripada segi ekonomi dan itu perlu menjadi tumpuan utama kerajaan ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 3:40 PM