PELBAGAI bidang pekerjaan ditawarkan, namun persaingannya tidak kurang hebat - Gambar Google
PELBAGAI bidang pekerjaan ditawarkan, namun persaingannya tidak kurang hebat - Gambar Google
LEPASAN universiti perlu bersedia untuk mendepani cabaran di alam kerjaya - Gambar hiasan
LEPASAN universiti perlu bersedia untuk mendepani cabaran di alam kerjaya - Gambar hiasan
PIHAK industri akan memilih mereka yang mampu memenuhi kriteria ditetapkan - Gambar Google
PIHAK industri akan memilih mereka yang mampu memenuhi kriteria ditetapkan - Gambar Google
LULUSAN universiti pastinya akan berdepan dengan keperitan untuk memperoleh pekerjaan kerana pasaran pekerjaan semasa yang perlahan - Gambar Google.
LULUSAN universiti pastinya akan berdepan dengan keperitan untuk memperoleh pekerjaan kerana pasaran pekerjaan semasa yang perlahan - Gambar Google.
PEMBERIAN gaji tidak setimpal dengan kelayakan adalah antara cabaran dihadapi siswazah pada masa kini - Gambar Google
PEMBERIAN gaji tidak setimpal dengan kelayakan adalah antara cabaran dihadapi siswazah pada masa kini - Gambar Google
Oleh Ruhaiza Rusmin


Laporan baru-baru ini menunjukkan, siswazah yang sudah enam bulan menyelesaikan pengajian mereka adalah antara 400,000 individu sedang menganggur dalam negara.

Isu pengangguran bukan baru. Namun, masalah ini dikhuatiri lebih meruncing apabila penawaran peluang pekerjaan yang tidak selari, selain didorong oleh persepsi pihak industri yang masih kurang yakin terhadap kualiti mereka.

Persaingan dalam kalangan mereka untuk mendapatkan pekerjaan sesuai sudah pasti semakin hebat. Mereka yang tidak mendapat peluang itu pula terpaksa menerima apa saja pekerjaan meskipun tidak setimpal dari segi imbuhan dan kelayakan dimiliki.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, antara cabaran besar dihadapi mereka selepas menamatkan pengajian ialah kesukaran memperoleh pekerjaan sesuai, pembayaran gaji kurang setimpal dan tidak mempunyai pengalaman seperti dikehendaki majikan.

Menurutnya, tiga aspek berkenaan dilihat memberi kesan kepada mereka menyebabkan sebahagian besarnya sukar memperoleh pekerjaan sesuai dengan kelayakan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengangguran.

“Pengeluaran siswazah meningkat saban tahun, namun penawaran pekerjaan sesuai, pembayaran gaji kurang setimpal serta kekurangan pengalaman dijadikan faktor golongan ini sukar memperoleh pekerjaan.

“Malah, tidak dinafikan tiga aspek berkenaan sebenarnya banyak memberi kesan kepada isu siswazah menganggur atau sukar memperoleh pekerjaan yang dihadapi kini.

“Walaupun pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi mengecilkan jurang sedia ada, dengan penawaran melebihi permintaan, hanya yang terbaik bakal menjadi pilihan,” katanya.

Beliau berkata, banyak kajian dilakukan termasuk kajian oleh beliau pada 2010 mendapati ramai yang tersepit dengan situasi ini.

Menurutnya, situasi ini tidak boleh dinamakan diskriminasi pekerjaan, namun ada kalanya majikan mencari kriteria tertentu pada calon sebelum ditawarkan sesuatu jawatan.

“Berdasarkan kajian berkenaan, industri memang lebih gemar menawarkan pekerjaan kepada mereka yang lebih berpengalaman atas sebab tertentu seperti pekerjaan itu sendiri memerlukan mereka yang benar-benar pakar.

“Bukan kerana mahu mewujudkan diskriminasi, tapi mereka (industri) tahu apa yang mereka mahu atau perlukan.

“Tapi pada masa sama, ia juga seperti memberi kesan tidak adil kepada siswazah. Baru habis belajar, bagaimana mahu membina pengalaman andai tidak diberi peluang,” katanya.

Menurutnya, pengenalan modul latihan industri sejak hampir 10 tahun lalu disandarkan harapan agar dapat membantu bakal siswazah memperoleh tempat dalam sektor pekerjaan, sekali gus mengecilkan jurang sedia ada.

“Pengenalan ini rentetan daripada banyak kajian, juga maklum balas daripada semua pihak yang mahukan satu mekanisme diperkenalkan bagi membantu mereka, selain mengecilkan jurang pengangguran dalam kalangan golongan terbabit.

“Pengenalan latihan industri walaupun tempohnya agak singkat, namun diharap dapat memberi kelebihan kepada siswazah untuk menarik perhatian majikan, sekali gus ditawarkan pekerjaan.

“Memang isu pengangguran, persaingan, gaji, pengalaman dan sebagainya adalah isu kompleks dalam industri penawaran pekerjaan hari ini, tapi semua pihak juga perlu berbincang mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Isu ini juga kata Dr Mohammad Shatar, adalah isu peringkat global dan tidak hanya berlaku di negara ini, sekali gus menepis persepsi siswazah tempatan tidak kompeten dalam memenuhi keperluan industri.

Menurutnya, siswazah di negara ini mempunyai kebolehan dan kecemerlangan yang boleh dibanggakan, namun kegagalan memperoleh pekerjaan juga disebabkan faktor sekeliling seperti ekonomi, budaya serta peluang pekerjaan semakin mengecil.

“Isunya di sini ialah siswazah baru kita ini tidak mempunyai pengalaman menyebabkan mereka terpaksa bersaing dengan pihak yang ada (pengalaman).

“Jika dikatakan mereka tidak kompeten, tanggapan itu tidak adil kerana mereka sudah belajar di menara gading dengan pemilihan di peringkat awal kemasukan sudah semestinya yang terbaik.

“Mereka juga ada kelebihan tersendiri, cuma kehendak dunia pekerjaan hari ini meletakkan keutamaan kepada yang lebih berpengalaman. Peluang mereka (ada), cuma bagi yang berpengalaman, ada kelebihan,” katanya.

Menerusi satu lagi kajian beliau yang dilakukan pada 2003, mendapati krisis kewangan 1997 memberi kesan jangka panjang kepada peningkatan pengangguran siswazah hingga kini.

Fenomena ini dilihat masalah yang semakin meruncing apabila mereka gagal menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan selepas menamatkan pengajian menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan penawaran,

Menurutnya, walaupun kebanyakan siswazah dibekalkan dengan latihan industri serta kemahiran diperlukan, bukan semua majikan melihat keperluan itu.

“Majikan mungkin mempunyai alasan tertentu seperti mahu menjimatkan kos manakala siswazah pula berpendapat sebaliknya.

“Pertentangan pendapat ini akhirnya menimbulkan konflik, namun secara asasnya kemenangan tetap berpihak kepada majikan kerana mereka mempunyai kata putus dalam membuat keputusan,” katanya.

Dalam hal in juga institusi yang melahirkan siswazah baru saban tahun akan tersepit.

“Institusi tidak boleh berhenti daripada mengeluarkan siswazah kerana ini tanggungjawab hakiki mereka.

“Malah, demi menyahut saranan semua pihak pelbagai modul diperkenalkan atau diperbaharui bagi membantu mereka menjadi lebih kompetitif dan berupaya menepati kemahuan majikan juga industri.

“Bagaimanapun, aspek lain juga perlu diambil kira seperti kestabilan ekonomi. Memang satu cabaran besar untuk institusi dan siswazah pada hari ini bagi memenuhi standard ditetapkan,” katanya.

Beliau mengakui ada majikan yang memberi sokongan kepada siswazah dengan tidak meletakkan syarat terlalu ketat, namun jumlahnya masih kurang berbanding pengeluaran mereka.

“Yang selalu menjadi rungutan ialah kesukaran mereka memperoleh pekerjaan kerana tiada pengalaman manakala pengalaman sewaktu latihan industri tidak dianggap pengalaman sebenar.

“Tapi ada juga majikan tidak mementingkan (pengalaman), sebaliknya membuat penilaian daripada aspek lain. Namun, jumlah majikan begini masih belum mencukupi bagi menampung siswazah sedia ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 5:01 AM