Mohd Amin Jalil

Nilai: Cuba meloloskan diri dengan merempuh kenderaan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang cuba menahan suspek sindiket dadah.

Dalam kejadian jam 6 petang, 13 September lalu, pihak kastam berjaya menahan salah seorang suspek lelaki berusia 30 tahun manakala rakannya berjaya melarikan diri.

Susulan penahanan itu, JKDM berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah syabu susulan rampasan syabu seberat 28 kilogram (kg) bernilai lebih RM1 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latiff Abdul Kadir, berkata operasi dilakukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM terhadap sebuah kereta Proton Saga di parkir sebuah hotel di Puchong, Selangor.

Katanya, kenderaan itu yang diekori sehingga Jalan Bandar 1, Puchong, kemudian cuba melarikan diri dengan merempuh kenderaan dinaiki pegawai kastam.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemui dua beg galas mengandungi bungkusan teh berwarna hijau berisi dadah seberat 28 kg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Cawangan Narkotik di Kampung Jijan, di sini, tadi.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir (tengah) pada sidang akhbar rampasan dadah jenis Methamphetamine seberat 28 kilogram di Cawangan Narkotik Kastam Kampung Jijan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir (tengah) pada sidang akhbar rampasan dadah jenis Methamphetamine seberat 28 kilogram di Cawangan Narkotik Kastam Kampung Jijan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Katanya, kereta digunakan sindiket itu disyaki kenderaan curi kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Mereka ini didapati menukar kenderaan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

"Siasatan awal mendapati bekalan dadah ini dikumpulkan dan akan dihantar ke luar negara terutama rantau ini dan bukannya untuk pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 27 September hadapan.

Menurutnya, rentetan daripada penahanan lelaki berkenaan, Cawangan Narkotik kemudiannya berjaya menahan empat lagi suspek termasuk yang melarikan diri di Puchong.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Abdul Latiff berkata sejak Januari lalu hingga kini, Cawangan Narkotik Kastam mematahkan pelbagai sindiket pengedaran dadah termasuk rangkaian antarabangsa dan merampas dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 5:23 PM