DATUK Abdul Latif Abdul Kadir menunjukkan paket produk susu kambing pra campuran keluaran tempatan yang turut mengandungi dadah ketamin. FOTO bernama
DATUK Abdul Latif Abdul Kadir menunjukkan paket produk susu kambing pra campuran keluaran tempatan yang turut mengandungi dadah ketamin. FOTO bernama
Mohd Amin Jalil


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik perniagaan produk susu unta dan susu kambing pra campuran selepas merampas 2.5 tan dadah bernilai RM100 juta, 4 Jun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, rampasan dadah terbesar itu dibuat susulan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor.

"Kami melakukan serbuan jam 1 tengah hari dan menemui produk susu unta dan susu kambing pra campuran keluaran tempatan mengandungi ketamin seberat 2.5 tan dalam kontena itu.

"Kontena itu tiba dari sebuah pelabuhan di Asia Selatan. Turut ditahan seorang lelaki warga asing berusia 55 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun yang disyaki terbabit dalam rangkaian sindiket antarabangsa ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di JKDM Cawangan Narkotik di Kampung Jijan di sini, hari ini.

Turut hadir Penolong Ketua Pengarah Kastam Datuk Johari Alifiah dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Cawangan Narkotik Koh Joo Kai.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati, muatan kontena yang diikrar sebagai serbuk susu unta dieksport dari negara ini pada akhir 2019.

"Bagaimanapun, muatannya ditukar kepada dagangan yang hampir serupa tetapi diisi dengan campuran ketamin sebelum dieksport semula ke negara ini," katanya.

Menurut Abdul Latif, kedua-dua suspek direman 10 hari bermula 4 Jun lalu.

Kes pula disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Rampasan ini adalah kejayaan terbesar JKDM berkaitan dadah tahun ini.

"Selain itu, ini juga kali pertama produk ditolak oleh negara penerima dan dihantar semula ke negara ini.

"Kami percaya produk ini dicampur dengan dadah di negara penerima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 3:16 PM