ANTARA barang yang dirampas dari suspek kes pecah cermin kereta di sekitar daerah Port Dickson. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barang yang dirampas dari suspek kes pecah cermin kereta di sekitar daerah Port Dickson. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Gemar memecahkan cermin kereta orang ramai menggunakan batu bata.

Itu tindakan liar seorang pemuda berusia 24 tahun yang dipercayai sudah memecahkan cermin 18 kenderaan setakat ini.

Suspek yang aktif melakukan perbuatan itu sejak seminggu lalu akhirnya ditahan polis di Jalan Kemuning di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki itu ditahan pada jam 3.30 petang oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas tiga motosikal bersama kunci, topi keledar dan pakaian digunakan suspek ketika semasa melakukan jenayah itu di sebuah bengkel di Batu 9, Teluk Kemang di sini.

"Susulan penahanan itu, polis yakin berjaya menyelesaikan kes kejadian pecah cermin kereta yang dibaling batu bata sejak seminggu lalu," katanya.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati suspek bergerak secara solo dan aktif di sekitar kawasan Taman Perumahan di Port Dickson, Teluk Kemang serta Lukut di sini.

"Batu bata yang digunakan (untuk memecahkan cermin kenderaan) dikutip di tepi jalan sekitar tempat kejadian.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tempoh lima tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya," katanya.

Berita berkaitan

Siapolah punyo kojo...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 7:17 PM