PENUNGGANG motosikal yang terbabit menunggang motosikal secara melulu dan bahaya di Kilometer 14 hingga 16 di Lebuhraya Seremban-Port Dickson. FOTO tiktok_yulievannea
PENUNGGANG motosikal yang terbabit menunggang motosikal secara melulu dan bahaya di Kilometer 14 hingga 16 di Lebuhraya Seremban-Port Dickson. FOTO tiktok_yulievannea
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Polis menahan empat individu daripada tujuh penunggang motosikal yang terbabit menunggang motosikal secara melulu dan bahaya di Kilometer 14 hingga 16 di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pada 17 Oktober lalu tular rakaman video kejadian di Lebuhraya Seremban - Port Dickson, membabitkan tujuh penunggang motosikal.

"Rakaman itu dimuatnaik dalam laman sesawang Facebook dan juga dalam info 'N9 Info Trafik' yang dibuat oleh pemilik akaun tiktok_yulievannea.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Trafik Port Dickson dengan kerjasama pegawai dan anggota Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah yang membuat tangkapan terhadap empat penunggang motosikal yang terbabit dalam rakaman itu," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, empat remaja berusia antara 17 hingga 18 tahun itu ditahan antara jam 1 pagi hingga 4 pagi tadi.

"Semua tangkapan dijalankan di kawasan Bukit Rambai dan Cheng Melaka awal pagi tadi dan semua mereka ditahan reman tiga hari mulai hari ini di IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut.

"Polis masih berusaha mengesan baki tiga lagi penunggang yang dikenali 'Upa', 'Darwisy' dan 'Afiq'," katanya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Memandu /Menunggang Secara Melulu dan Bahaya).

"Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000 hingga 15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu lebih lima tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 1:18 PM