GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

PENAMBAHBAIKAN berterusan amat perlu untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berfungsi secara cekap, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Di peringkat awal, pemindahan tunai perlu mengutamakan kumpulan yang benar-benar kurang bernasib baik, dan sama penting bagi penerima BR1M untuk keluar daripada kelompok berpendapatan​​​​​​​ rendah dari semasa ke semasa.

“Kemapanan BR1M akan bergantung kepada penggerakan kumpulan berpendapatan rendah melepasi​​​​​​​ kitaran kemiskinan antara generasi dan meningkatkan tahap pendapatan.

“Dengan berbuat demikian, BR1M boleh ditambah baik dengan memastikan wujudnya mekanisme​​​​​​​ akhir, menjalinkannya kepada program galakan untuk mempertingkatkan modal insan dan produktiviti,” menurut BNM dalam jawapan bertulis kepada Bernama mengenai sama ada BR1M dikekalkan dan jika ia perlu mempunyai tempoh akhir.

Bank pusat menjelaskan di negara lain seperti Amerika Syarikat dan Amerika Latin, beberapa bentuk syarat berkaitan pendidikan dan penjagaan kesihatan dijadikan sebahagian daripada pemindahan​​​​​​​ sosial.

“Memandangkan perubahan berstruktur (seperti penduduk berusia, perubahan keadaan pekerjaan​​​​​​​disebabkan teknologi, dan peralihan dalam rangka sosial) telah berlaku dalam masyarakat di negara ini, kita perlu memastikan wujudnya rangka kerja perlindungan sosial menyeluruh untuk masa depan,” menurut​​​​​​​ BNM.

Bagi jangka panjang, sebarang program bantuan tunai hanya perlu membentuk satu bahagian​​​​​​​ daripada sistem jaminan sosial nasional yang lebih menyeluruh, kata bank pusat.

“Secara kritis, sistem jaminan sosial tidak seharusnya mengakibatkan pergantungan keterlaluan kepada kebajikan negara atau stigma terhadap golongan miskin, sebaliknya ia memperkasakan dan membangunkan keupayaan isi rumah,” menurut BNM.

Bank pusat berkata, dasar fiskal, struktur dan sosial yang lebih luas, termasuk berkaitan pasaran tenaga kerja dan pendidikan, merupakan elemen utama dalam membentuk tahap dan liputan rangka kerja perlindungan sosial yang mencukupi,

BNM berkata, rangka kerja holistik bagi sistem jaminan sosial negara akan berasaskan tiga​​​​​​​ tonggak utama: perlindungan, pencegahan dan galakan.

Sekurang-kurangnya, bagi perlindungan, perlu wujud apa yang dipanggil “tingkat perlindungan sosial”, yang termasuk BR1M atau sebarang bentuk jaminan pendapatan lain yang menyasarkan golongan miskin, berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik.

Dari segi pencegahan, ia menumpukan insurans sosial (termasuk pencen dan insurans​​​​​​​ pengangguran), malah Sistem Insurans Pekerjaan yang diperkenalkan baru-baru ini merupakan langkah bagi arah tuju yang tepat.

“Yang penting adalah melengkapkan sokongan pendapatan dengan aspek galakan, iaitu, kaedah dan peluang untuk rakyat Malaysia mempunyai akses kepada pekerjaan berkualiti, kehidupan lebih baik dan taraf hidup yang lebih tinggi.

“Pastinya, langkah-langkah ke arah sistem jaminan sosial yang lebih menyeluruh ini memerlukan​​​​​​​kedudukan dan pengurusan fiskal yang kukuh,” menurut BNM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 9:11 PM