FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Adam Firouz

Golongan miskin bandar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah kos rendah dilihat antara yang menderita teruk dalam pertarungan Covid-19 ini. Mereka bukan saja berdepan dengan masalah pendapatan dan simpanan, malah turut hilang kemampuan untuk memenuhi keperluan asas.

Tambahan lagi, nyawa mereka terancam disebabkan keadaan perumahan yang tidak kondusif meningkatkan risiko jangkitan Covid-19. Hakikatnya, sejumlah kes sudah dilaporkan di beberapa PPR, menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan perlu dilakukan.

Terdapat empat tindakan yang pihak berkuasa perlu lakukan bagi memberi kelegaan segera kepada golongan miskin di PPR dan untuk mencegah penularan Covid-19.

Pertama, skim di bawah Pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (Pemulih) seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) wajar dipercepatkan ke Julai, manakala skim lain seperti Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) perlu diperluaskan bagi membantu pekerja sektor informal dan orang lain yang memerlukan.

Sebagai contoh, BKC hanya akan diedarkan secara berfasa pada Ogos, November dan Disember, bermakna tiada bantuan diberi pada Julai. Tambahan lagi, jumlah bantuan hanya sehingga RM1,300, jauh lebih rendah berbanding pendapatan garis kemiskinan (PGK) purata negara RM2,208 sebulan.

Skim lain pula seperti subsidi gaji upah dan BKP hanya membantu mereka yang berdaftar dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Perkeso. Ini akan menyisihkan ramai penduduk miskin bandar dan PPR yang kebanyakannya pekerja informal dan bekerja sendiri.

Kedua, kerajaan perlu memperkenalkan semula pengecualian sewa PPR selama enam bulan di seluruh negara. Ia dilakukan pada 2020 dan diperkenalkan semula di Sabah dan Selangor pada tahun ini, tetapi untuk jangka masa yang lebih pendek. Dengan kehilangan sumber pendapatan dan simpanan berkurangan, setiap ringgit amat penting bagi golongan miskin bandar supaya mereka mampu membeli keperluan asas seperti makanan.

Malah, tempoh pengecualian sewa yang lebih lama pula akan membantu mereka untuk lebih bersedia dalam menghadapi cabaran pandemik ini yang berpanjangan dan tidak menentu.

Ketiga, kerajaan harus menawarkan perumahan sementara tambahan untuk penduduk di PPR dan perumahan awam bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19. Ini penting terutamanya untuk isi rumah yang terdapat ahli keluarga disyaki bergejala Covid-19 atau aktif bekerja di luar rumah, tetapi belum menjalani ujian swab.

Perumahan sementara ini boleh menggunakan unit PPR kosong terdekat tanpa caj sewa dan unit daripada pasaran swasta dengan subsidi baucar sewa.

Keempat, ujian Covid-19 percuma perlu dipertingkatkan dan diperluaskan di PPR dan flat kos rendah di Lembah Klang dan kawasan bandar utama. Ini sudah bermula di beberapa PPR di KL yang boleh menjalankan sehingga 500 ujian setiap hari.

Namun, memandangkan tahap penularan virus dalam komuniti agak tinggi, kerajaan harus bersedia untuk menjalankan lebih banyak ujian di PPR (jika perlu) untuk memastikan kadar positif Covid-19 menurun dan kekal di bawah tahap lima peratus mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada 2016 hingga 2017, Khazanah Research Institute (KRI) menjalankan kajian di lima PPR dan mendapati ramai penduduk hidup dalam belenggu kemiskinan. Lebih daripada 60 peratus berada di bawah PGK purata RM2,208, dan lebih daripada 21 peratus dikira miskin tegar (pendapatan bawah RM1,038).

Ini mungkin tidak mengejutkan memandangkan PPR ditetapkan sebagai perumahan bagi golongan miskin, tetapi kadar kemiskinan yang tinggi ini bermaksud penduduk PPR mempunyai simpanan yang tidak mencukupi dalam menghadapi krisis semasa.

Lebih membimbangkan, kira-kira empat peratus ketua isi rumah yang bekerja tidak bersekolah, manakala hanya 13 peratus yang belajar pasca menengah. Maksudnya pilihan pekerjaan mereka terhad kepada pekerjaan gaji rendah.

Selain itu, lima peratus bekerja sambilan dan 30 peratus bekerja sendiri, bermaksud ramai mudah dilepaskan kerja memandangkan sekatan ekonomi semasa. Tambahan pula, mereka tiada perlindungan sosial KWSP atau insurans pengangguran daripada Perkeso. Juga disebabkan sifat kerja mereka, kebanyakan penduduk PPR tidak mampu bekerja dari rumah ketika PKP, memburukkan kekangan pendapatan.

Jika terpaksa menghadiri tempat kerja secara fizikal, ini menimbulkan risiko jangkitan Covid-19. Oleh itu, dalam keadaan terdesak, tidak mengejutkan jika ada yang mengambil risiko demi sesuap nasi.

Risiko jangkitan juga tinggi antara ahli isi rumah disebabkan keadaan sempit PPR. Setiap unit PPR di KL biasanya hanya 650 kaki persegi dengan bilik kecil yang tidak menepati Piawaian Perumahan Negara Malaysia. Kajian KRI menunjukkan sekurang-kurangnya 15 peratus unit PPR yang sesak, ada tiga atau lebih orang dalam bilik tidur.

Statistik ini lebih teruk jika lelaki dan perempuan memerlukan bilik berasingan. Masalah ini, serta ruang berkongsi seperti tandas yang terhad, menyebabkan langkah pencegahan Covid-19 sukar dilakukan. Di samping itu, kesan buruk lain ke atas kesihatan mental tidak boleh diabaikan.

Sementara itu, kompleks PPR secara keseluruhan sangat padat, meningkatkan risiko jangkitan antara isi rumah. Sebuah PPR di KL biasanya mempunyai sekurang-kurangnya 316 unit bagi setiap blok, di mana setiap blok setinggi 17 tingkat dan mempunyai tiga lif. Memandangkan isu lif (lambat dan sesak) adalah antara keluhan penduduk PPR, ia menimbulkan risiko kesihatan yang serius.

Kesusahan yang dihadapi orang yang kurang bernasib baik di Malaysia seperti di PPR memerlukan kita merenung cara layanan yang diberikan kepada mereka. Oleh itu, hanya seseorang adalah 'miskin' tidak bermaksud mereka hanya layak menerima bantuan ala kadar sahaja.

PPR lama dan baru mesti dipertimbangkan semula secara menyeluruh di bawah dasar perumahan sosial komprehensif yang menjamin taraf kehidupan berpatutan untuk semua.

Penulis penyelidik di Khazanah Research Institute

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 6:15 AM