MANGSA berusia 24 tahun cedera di pipi kanan selepas terkena pisau yang dipegang abang kandungnya. FOTO ihsan PDRM
MANGSA berusia 24 tahun cedera di pipi kanan selepas terkena pisau yang dipegang abang kandungnya. FOTO ihsan PDRM
Juwan Riduan


Beaufort: Seorang lelaki menerima tiga jahitan di pipi selepas terkena pisau ketika cuba meleraikan pergaduhan antara kakak dan abangnya di Kampung Lubak di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, abang mangsa dikatakan mengamuk selepas dilarang pergi ke Kota Kinabalu oleh ibu mereka.

Difahamkan, ibu mangsa tidak membenarkan lelaki berusia 32 tahun itu ke ibu negeri untuk mengambil barang kerana menggunakan motosikal orang lain selain tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berang dengan larangan itu meninggikan suara memarahi ibunya.

Katanya, kakak mangsa kemudiannya menegur suspek kerana meninggikan suara dan menyebabkan suspek bertambah marah sebelum bertindak mengambil pisau di dapur rumah.

"Mangsa yang berumur 24 tahun kemudian datang untuk cuba menghalang dan meleraikan pergaduhan berkenaan namun pisau yang dipegang suspek terkena pipi sebelah kanan mangsa.

"Suspek kemudiannya melarikan diri dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Yussof Zaki berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Beaufort dan terpaksa menerima tiga jahitan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 3:51 PM