APMM menahan kapal penumpang yang bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 14.5 batu nautika timur laut Tanjung Siang. FOTO ihsan APMM
APMM menahan kapal penumpang yang bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 14.5 batu nautika timur laut Tanjung Siang. FOTO ihsan APMM
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan sebuah kapal penumpang yang bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 14.5 batu nautika timur laut Tanjung Siang, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal yang berdaftar dari Bahamas itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, kapal itu dikendalikan 63 kru berusia antara 23 hingga 65 tahun meliputi warga tempatan, China, Croatia, Indonesia, Nepal, Filipina, Finland, Singapura, Sweden serta United Kingdom.

"Master dan seorang kru kapal dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk disiasat mengikut Seksyen 491(B)(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

"Sepanjang minggu lalu, Maritim Johor menahan sebanyak 11 kapal dagang atas kesalahan sama yang menjadikan keseluruhan sebanyak 34 kapal dagang ditahan menerusi Op Jangkar Haram yang dijalankan sejak 24 Mac lalu.

"Untuk rekod, jumlah keseluruhan tangkapan di bawah kesalahan sama bermula Januari lalu hingga kini meliputi 52 kapal dari pelbagai jenis dan berdaftar dari pelbagai negara termasuk Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menegaskan semua jenis kapal yang ingin bersauh dalam perairan Malaysia perlu memohon dan mendapatkan kebenaran atau segera keluar jika enggan berbuat demikian.

"APMM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas mengikut lunas undang-undang negara demi kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan di perairan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 10:48 AM