ANTARA barangan rampasan polis di sebuah pusat panggilan perjudian atas talian di Taman Bukit Indah di sini, semalam. FOTO ihsan polis
ANTARA barangan rampasan polis di sebuah pusat panggilan perjudian atas talian di Taman Bukit Indah di sini, semalam. FOTO ihsan polis
Mary Victoria Dass


Iskandar Puteri: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Itu nasib satu sindiket perjudian yang meraih hasil kutipan kira-kira RM600,000 dalam tempoh dua bulan apabila ditumpaskan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah IPD Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, sindiket menjadikan sebuah kediaman di Taman Bukit Indah di sini, sebagai pusat panggilan.

"Serbuan jam 5.30 petang semalam dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Johor.

"Kami menahan empat lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia 17 hingga 30 tahun di pusat panggilan terbabit," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sindiket terbabit menjadikan warga tempatan sebagai sasaran penipuan dan beroperasi 24 jam membabitkan dua syif.

"Sehingga kini, kami menemui 12 akaun bank yang digunakan bagi urusan transaksi kewangan dengan jumlah kutipan harian kira-kira RM10,000," katanya.

Dzulkhairi berkata, kesemua yang ditahan mengaku menerima peluang pekerjaan menerusi Facebook.

"Setiap pekerja dibayar gaji RM2,000 sebulan selain komisen 20 peratus berdasarkan jumlah pelanggan oleh seorang lelaki warga tempatan.

"Lapan individu terbabit direman bagi membantu siasatan polis," katanya.

Selain itu, menurut Dzulkhairi, pihaknya turut merampas lapan set komputer, 28 telefon bimbit selain wang RM570.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (G) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 6:02 PM