DZULKHAIRI melihat barangan rampasan termasuk buku catatan yang mencatatkan transaksi bayaran judi online serta jenis permainan yang disediakan. FOTO Omar Ahmad
DZULKHAIRI melihat barangan rampasan termasuk buku catatan yang mencatatkan transaksi bayaran judi online serta jenis permainan yang disediakan. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Tujuh individu ditahan dalam serbuan polis ke atas sebuah rumah sewa di Taman Bukit Indah di sini semalam yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian.

Serbuan jam 1 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, tiga lelaki dan empat wanita tempatan berusia 18 hingga 25 tahun ditahan dalam serbuan itu.

Katanya, serbuan turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti mempromosi perjudian dalam talian.

"Hasil siasatan mendapati pusat operasi judi dalam talian itu beroperasi sejak sebulan lalu.

"Kebiasaannya, operasi ini dibuat di lot kedai dan premis perniagaan tetapi kini sindiket menjadikan rumah sewa sebagai pusat operasi

"Pusat ini menjadi tempat untuk pelanggan judi dalam talian membuat tambah nilai dan walaupun baru beroperasi, ia membuat transaksi lebih RM6,000 membabitkan 30 pelanggan berdasarkan buku catatan yang turut dirampas," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, hari ini.

Turut dirampas, empat set komputer, tujuh telefon bimbit, dua buku nota, tiga kalkulator, satu modem, 13 kad bank dan 59 kertas putih tercatat urus niaga judi dalam talian.

Semua yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurut Dzulkhairi, orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pemilik rumah sewa juga perlu ambil tahu tentang individu yang menyewa bagi mengelak premis mereka disalah guna untuk kegiatan jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 4:23 PM