Antara 12 premis yang diserbu membawa kepada penahanan 12 individu . FOTO IHSAN POLIS
Antara 12 premis yang diserbu membawa kepada penahanan 12 individu . FOTO IHSAN POLIS
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Seramai 12 individu termasuk tiga warga asing ditahan dalam serbuan di lokasi berasingan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian, penjualan rokok dan minuman keras secara haram, semalam.

Serbuan Ops Bersepadu dilakukan di kawasan Nusa Bestari, Kangkar Pulai, Gelang Patah, Tanjung Kupang, Bukit Indah dan Iskandar Puteri, di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek lelaki berusia 20 hingga 53 tahun disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian, penjualan minuman keras dan rokok yang tidak berdaftar selain beroperasi secara haram.

"Polis merampas sebanyak 942 karton rokok pelbagai jenama dan 378 botol arak pelbagai jenama serta wang tunai sebanyak RM200.

"Selain itu, polis juga merampas empat telefon bimbit, dua pencetak, tiga unit modem, lima slip kertas putih bertulis angka, serangkai kunci dan wang tunai sebanyak RM737 di premis perjudian terbabit.

"Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM44,500," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Dzulkhairi, ujian saringan air kencing ke atas kesemua saspek mendapati mereka negatif dadah.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4A (a) dan Seksyen 4 (1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 3:50 PM